Tuchel pertahankan Neymar dan Kylian selepas tewas di final

Tuchel pertahankan Neymar dan Kylian selepas tewas di final

LISBON,. Jurulatih Paris Saint Germain (PSG), Thomas Tuchel, mempertahankan barisan serangannya yang bernilai 400 juta euro Neymar dan Kylian Mbappe selepas kedua-dua pemain itu gagal menembusi pertahanan Bayern Munich ketika tewas 0-1 di final Liga Juara-juara.

Pemilik PSG dari Qatar, membelanjakan jumlah keseluruhan 402 juta euro untuk mendapatkan dua penyerang itu pada 2017 dalam usaha untuk memenangi kejuaraan elit itu.

Bagaimanapun, PSG kelihatan bergelut menangani kelab gergasi bola sepak Jerman yang kini sudah muncul juara di Eropah sebanyak enam kali.

Neymar, pemain bola sepak termahal dunia, menamatkan perlawanan dengan kad merah dan tangisan.

“Kami mahu Neymar dan Kylian menjaringkan gol tetapi kami tidak dapat sentiasa mengharapkan mereka,” kata Tuchel.

“Saya bangga kerana Neymar masih bermain dengan baik, beliau menunjukkan kekuatan mentalitinya.

“Bagi Kylian, ia adalah sukar, beliau mengalami kecederaan serius sebelum ini, terlepas banyak sesi latihan. Ia adalah satu keajaiban di mana beliau masih dapat beraksi bersama kami di final.”

Mbappe mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi rembatannya tepat ke dakapan penjaga gol Bayern, Manuel Neuer sebelum rehat.

Gol kemenangan dijaringkan oleh Kingsley Coman, yang bermain di PSG dari kecil sehingga berusia 18 tahun sebelum berpindah ke Juventus.

“Saya yakin bahawa jika kami menjaringkan gol lebih awal, kami akan menang 1-0,” tambah Tuchel.

“Saya mendapat gambaran bahawa gol pertama akan menentukan pemenang di final ini.”

Beliau menambah: “Kami harus mengekalkan kualiti ini untuk terus berada di landasan memburu kegemilangan di masa hadapan.”

Tetapi sama ada beliau akan kekal membimbing PSG untuk musim hadapan kini menjadi persoalan.

“Saya mempunyai kontrak, saya tidak tahu perkara lain.”

Presiden yang juga pemilik kelab, Nasser al-Khelaifi, menegaskan Liga Juara-Juara masih dalam jangkauan mreka.

“Saya berasa sangat bangga dengan pemain saya,” kata hartawan dari Qatar itu.

“Kami mengharungi satu musim yang hebat, satu kejohanan hebat di sini. Tiada siapa menjangkakan kami akan ke final.

“Kami begitu hampir memenanginya melakukan segala-galanya untuk menang tetapi ia lumrah bola sepak. Kami akan berusaha lagi musim hadapan kerana Liga Juara-Juara adalah sasaran kami.”

Pemain tengah PSG, Ander Herrera, mengakui kekalahan di final adalah sukar untuk diterima tetapi menegaskan kelabnya tidak harus meletakkan pencapaian mereka yang lain “ke dalam tong sampah”.

“Kami telah membina sesuatu yang penting. Kami harus terus kekal bersama dan memulakan impian seterusnya musim hadapan,” kata Herrera. — AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )