Inter benam Donetsk 5-0, mara ke final Liga Europa

Inter benam Donetsk 5-0, mara ke final Liga Europa

DUSSELDORF,. Inter Milan ditakdirkan untuk “era kegemilangan” di bawah kendalian Antonio Conte, menurut Lautaro Martinez selepas beliau dan rakan penyerang, Romelu Lukaku masing-masing menjaringkan dua gol ketika membelasah Shakhtar Donetsk 5-0 untuk melangkah ke final Liga Europa pada Isnin.

Danilo D’Ambrosio menjaringkan satu lagi gol untuk Inter, yang akan bertemu Sevilla di final yang berlangsung di Cologne Jumaat ini.

Inter mengharungi satu dekad hambar sejak memenangi Liga Juara-Juara pada 2010 tetapi merapatkan jurang dengan Juventus di singgahsana Serie A Itali dengan kurang satu mata pada musim pertama Conte sebagai jurulatih dan sekarang mereka hanya kurang satu kemenangan untuk menjulang trofi pertama sejak sembilan tahun.

Martinez dan Lukaku membina gandingan berbisa yang menjadi sumber utama kejayaan Inter dan di antara mereka kini sudah menjaringkan 54 gol pada musim ini.

“Ia adalah malam yang hebat, sesuatu yang kami impikan,” kata Martinez, yang dikaitkan dengan satu perpindahan ke Barcelona.

“Kami membuktikan bahawa Inter sudah bersedia untuk era kegemilangan, kami sudah bersedia untuk final.”

Selepas permulaan hambar, Martinez meletakkan Inter di hadapan apabila menyempurnakan hantaran lintang Nicolo Barella pada minit ke-19.

Shakhtar adalah salah sebuah kelab bola sepak di Eropah yang masih bertahan ketika juara Liga Ukraine itu terus tidak dapat bermain perlawanan di tempat sendiri di Donetsk selama enam tahun kerana perang di timur Ukraine di antara tentera kerajaan dan pemisah yang disokong Rusia.

Skuad kendalian Luis Castro sudah menjaringkan 14 gol dari lima perlawanan Liga Europa sejak tersingkir dari Liga Juara-Juara tetapi barisan jentera serangan berbakat mereka kelihatan gagal menembusi pertahanan kental Inter.

“Jangan tertipu dengan keputusan akhir,” kata Conte. “Kami bermain dengan baik untuk tidak membenarkan mereka bermain seperti yang mereka mahukan. Pemain saya bermain seperti bagaimana satu perlawanan di Eropah harus dimainkan.”

Shakhtar mempunyai satu peluang keemasan untuk mengikat kedudukan apabila hantaran Mykola Matviyenko sampai ke kaki Junior Moraes tetapi tandukan pemain antarabangsa Ukraine kelahiran Brazil itu terlalu hampir dengan penjaga gol Inter, Samir Handanovic, yang mudah mengawal keadaan.

Dua minit kemudian, Inter memusnahkan impian Shakhtar apabila D’Ambrosio menyempurnakan hantaran Marcelo Brozovic untuk gol kedua.

“Apabila Inter menjaringkan gol kedua, kami jelas hilang semangat,” kata Castro. “Selepas 0-2, kami melakukan begitu banyak kesilapan.”

Hanya ketangkasan penjaga gol Shakhtar, Andriy Pyatov menafikan Martinez gol kedua peribadi dalam separuh masa kedua tetapi beliau kemudian gagal menghalang gol ke-21 Martinez selepas itu.

Lukaku mengekalkan rekod cemerlang dengan menjaringkan gol dalam 10 perlawanan Liga Europa berturut-turut apabila menjaringkan gol ketika berbaki 12 minit permainan sebelum menjaringkan gol kedua peribadi dan gol ke-33 beliau musim ini lima minit kemudian untuk melengkapkan jaringan.

“Saya seorang penyerang dan saya bermain di sini untuk menjaringkan gol,” kata Lukaku. — AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )