Suspek Serangan masjid di NZ mula dibicarakan

Suspek Serangan masjid di NZ mula dibicarakan

CHRISTCHURCH,. Seorang penyokong ketuanan kulit putih Australia yang membunuh 51 penganut Islam dalam kejadian tembakan di masjid New Zealand pada tahun lepas tidak menunjukkan sebarang perasaan ketika perbicaraan kesnya dibuka semalam dengan keterangan menyayat hati kekejaman yang menurut pihak pendakwa raya dirancang dengan teliti untuk menyebabkan kematian maksimum.

Brenton Tarrant ingin menembak lebih ramai lagi mangsa, mahkamah diberitahu ketika permulaan perbicaraan empat hari yang dilakukan dalam kawalan ketat dan disaksikan anggota keluarga mangsa serta mangsa yang terselamat.

Mahkamah mendengar bagaimana Tarrant yang bersenjata penuh melepaskan tembakan ke arah lelaki, wanita dan kanak-kanak ketika melakukan striming secara langsung serangan tersebut dalam media sosial, tidak mengendahkan rayuan untuk bantuan, dan menggilis mayat ketika dia bergerak dari satu masjid ke masjid yang lain.

Ketika melihat seorang kanak-kanak berusia tiga tahun memeluk kaki ayahnya, Tarrant menembaknya dengan dua tembakan yang ditujukan secara tepat, pendakwa raya Barnaby Hawes memberitahu mahkamah.

Tarrant mengaku bersalah terhadap 51 tuduhan membunuh, 40 untuk cubaan membunuh dan serangan ganas ke atas dua masjid di Christchurch pada Mac tahun lepas.

Para peguam menjangkakan lelaki berusia 29 tahun itu akan menjadi orang pertama yang dipenjarakan seumur hidup tanpa parol di New Zealand.

Tarrant ditangkap ketika memandu untuk menyerang masjid ketiga di Ashburton, kira-kira sejam perjalanan di selatan Christchurch.

Memakai seragam penjara kelabu dan diapit tiga anggota polis dalam kandang pesalah, pemuda Australia itu hanya berdiam diri, beberapa kali memandang di sekeliling bilik, ketika Hawes menyampaikan keterangan pembukaan menyayat hati mengenai fakta, dan anggota komuniti Islam yang mengingati semula kesan tersebut terhadap kehidupan mereka.

“Dia mengaku kepada polis bahawa dia pergi ke kedua-dua masjid dengan niat untuk membunuh seramai mungkin,” terang Hawes.

“Dia menjelaskan bahawa dia ingin menembak lebih ramai lagi dan dalam perjalanan ke masjid lain di Ashburton bagi melancarkan satu lagi serangan ketika ditahan,” kata beliau.

“Dalam temu bualnya, defendan merujuk kepada serangannya sebagai serangan keganasan.

“Dia kemudian menyatakan serangan itu berpunca daripada fahaman ideologinya dan berniat untuk mencetuskan rasa takut terhadap mereka yang digelarnya sebagai ‘penceroboh’ termasuk populasi Muslim atau secara umumnya pendatang bukan Eropah,” katanya.

Abdiaziz Ali Jama, 44, pelarian Somali, melihat abang iparnya Muse Awale ditembak mati dan menyatakan beliau masih mengalami trauma mental.

“Saya melihat imej-imej tersebut dan mendengar bunyi bunyi tembakan senjata dalam kepala saya,” kata Jama, menyebut kenyataan daripada beberapa mangsa.

“Saya sering teringat semula kejadian itu, melihat mayat-mayat di sekeliling saya, darah di mana-mana,” tambah seorang anak lelaki kepada Ashraf Ali.

Imam Masjid Al Noor Gamal Fouda berkata, beliau berdiri di atas mimbar dan melihat kebencian mendalam pada mata seorang pengganas yang diubah pemikirannya, lantas memberitahu Tarrant: “Rasa kebencian anda tidak sepatutnya wujud.”

Mahkamah telah dimaklumkan Tarrant tiba di New Zealand pada 2017 dan menetap di Dunedin, 360 kilometer di selatan Christchurch, di mana dia telah membentuk satu koleksi senjata api berkuasa tinggi dan membeli lebih 7,000 butir peluru.

Dia turut membeli baju besi balistik seperti tentera dan ves taktikal.

Dua bulan sebelum serangan, dia memandu ke Christchurch dan menerbangkan sebuah dron di atas Masjid al Noor, merakamkan kawasan dan bangunan termasuk pintu masuk dan keluar serta melakukan nota-nota lengkap mengenai perjalanan di antara masjid.

Pada Jumaat, 15 Mac 2019 dia meninggalkan rumahnya di Dunedin dan memandu ke Christchurch sambil bersenjatakan pelbagai senjata berkuasa tinggi di mana dia telah menulis rujukan mengenai pertempuran bersejarahnya, jumlah bagi pertempuran dan serangan pengganas terbaharu dan simbolnya.

“Dia mempunyai peluru yang sedia dimasukkan ke dalam magazin, termasuk kontena petrol yang diubah suai bagi membakar masjid dan menyatakan dia berharap bahawa dia telah melakukannya,” kata Hawes.

Dengan berpakaian perang gaya tentera termasuk sepasang ves taktikal yang lengkap dengan poket depan mengandungi sekurang-kurangnya tujuh magazin peluru penuh dan satu sarung pedang yang menyimpan pisau seperti bayonet, dia telah meletakkan sebuah kamera pada topinya bagi merekodkan serangan tersebut.

Dalam masa beberapa minit ketika menyerbu Masjid al Noor, dia menghantar manifesto radikal 74 muka surat ke laman sesawang ekstremis, memaklumkan keluarganya mengenai apa yang akan dilakukannya serta menghantar beberapa e-mel mengandungi ugutan untuk menyerang masjid-masjid kepada beberapa agensi media.

Tarrant mewakili dirinya sendiri dalam perbicaraan tersebut.

Hakim Cameron Mander telah mengemukakan sekatan laporan bagi menghalang dia menggunakan mahkamah sebagai platform bagi pandangan ekstremis.

Mander dijangka menjatuhkan hukuman pada Khamis ini. — AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )