Liga Juara-Juara: Bayern raja di Eropah buat kali keenam
LISBON,. Bayern Munich menjadi raja di Eropah buat kali keenam pada Ahad selepas gol tunggal Kingsley Coman memastikan kemenangan 1-0 ke atas Paris Saint Germain (PSG) di final Liga Juara-Juara yang berlangsung di Lisbon, sekali gus melengkapkan musim hebat buat kelab gergasi bola sepak Jerman dan mengecewakan lawan yang memburu trofi idaman mereka sejak sekian lama.
Ia adalah final yang sengit, dengan tiada banyak ruang tetapi ada juga peluang hadir terutama sekali sebelum Coman, bekas pemain PSG, menanduk masuk satu hantaran lintang Joshua Kimmich pada minit ke-59 untuk membolehkan Bayern memenangi kejuaraan ketiga mereka musim ini selepas memenangi Bundesliga Jerman dan Piala Jerman.
PSG pastinya berasa kesal kerana tidak mengambil sepenuh peluang yang anda pada perlawanan di Estadio da Luz tetapi ia adalah kejayaan luar biasa buat jurulatih Hansi Flick, yang hanya dilantik menjadi jurulatih Bayern pada bulan November tahun lepas untuk menggantikan Niko Kovac.
“Saya berasa bangga dengan pasukan. Apabila saya bermula di kelab pada bulan November, semua perhatian adalah tentang ‘tiada lagi penghormatan buat Bayern’, tetapi cara pasukan ini berkembang adalah sangat luar biasa,” kata beliau kepada penyiaran Sky Germany.
“PSG memiliki penyerang hebat tetapi kami selayaknya memenangi final ini.”
Bagaimanapun, keputusannya mungkin berbeza jika penyerang PSG, Kylian Mbappe melakukan cubaan lebih baik berbanding merembat tepat ke penjaga gol Bayern, Manuel Neuer sebelum rehat.
Mbappe ada bercakap tentang keazamannya mencipta nama dalam sejarah negaranya dengan membantu PSG menjadi kelab kedua dari Perancis yang memenangi kejuaraan elit kelab di Eropah.
Tetapi mereka masih perlu menunggu lagi untuk menyamai pencapaian Marseille, juara terakhir dari Perancis pada 1993.
“Kami memberikan segala-galanya dalam padang. Anda boleh menjangkakannya dari pasukan anda tetapi anda tidak dapat mengawal keputusannya,” kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel kepada penyiaran Perancis, RMC.
Pemilik PSG dari Qatar, membelanjakan sejumlah keseluruhan 402 juta euro untuk mendapatkan Neymar dan Mbappe pad 2017 dengan keazaman untuk memenangi pertandingan ini. Namun pada akhirnya, pemain meninggalkan kelab itu menafikan impian mereka.
Coman lahir di Paris dan memulakan kerjayanya di PSG, tetapi beliau meninggalkan kelab pada usia 18 tahun ke Juventus pad 2014 apabila menyedari beliau tidak dapat bermain dengan lebih kerap jika terus kekal di kelab.
“Ia satu perasaan luar biasa. Saya berasa sangat gembira tetapi saya juga bersimpati dengan PSG,” kata Coman.
Coman bermula di bangku simpanan pada perlawanan separuh akhir menentang Lyon tetapi disenaraikan dalam kesebelasan utama di final.
Sekarang beliau mungkin tidak dialu-alukan kembali di Paris.
Kali terakhir Bayern muncul juara Eropah ialah pad 2013. Kejuaraan keenam itu membolehkan mereka berkongsi jumlah kejuaraan dengan Liverpool, juara tahun lepas. Hanya Real Madrid dan AC Milan memenangi lebih banyak kejuaraan.
Bayern menamatkan musim dengan 21 kemenangan berturut-turut dan tanpa kalah dalam 30 perlawanan. Mereka selayaknya dimahkotakan juara di stadium penuh dengan penonton.
Bagaimanapun, hanya beberapa ratus jemputan dibenarkan dalam stadium untuk menonton format baharu kejohanan yang melibatkan lapan perlawanan terakhir selepas kejohanan tertangguh hampir lima bulan kerana pandemik koronavirus (COVID-19).
Final kali ini mempertemukan dua kelab yang mengambil laluan berbeza untuk menjadi sebahagian dari kelab elit di Eropah, dengan Bayern secara tradisinya adalah kuasa bola sepak di Jerman sementara PSG berubah menjadi kuasa bola sepak Perancis selepas dibeli hartawan Qatar pada 2011.
Tetapi dalam dan luar padang, ia hampir seimbang dan diterjemahkan dengan perlawanan yang menarik dan juga pengalaman berbeza ketika COVID-19.
Bayern hampir membuka jaringan lebih awal pada pertengahan separuh masa pertama apabila Robert Lewandowski – yang memburu gol ke-56 beliau musim ini melihat rembatannya terkena palang gol.
Beliau sekali lagi mempunyai peluang tetapi tandukannya ditepis penjaga gol PSG, Keylor Navas dan kegagalan itu hampir dihukum oleh PSG pada akhir separuh masa pertama.
Neymar melihat cubaannya ditepis Neuer selepas umpanan dari Mbappe sebelum Mbappe melakukan rembatan tepat ke arah Neuer selepas merampas bola dari David Alaba dalam kotak penalti.
Alaba sebelum itu melihat rakan gandingan di posisi pertahanan tengah, Jerome Boateng, terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan dan diganti oleh Niklas Suele, yang tetap mengekalkan kekebalan pertahanan Bayern.
Bayern akhirnya memecah kebuntuan apabila Thiago Alcantara memulakan gerakan yang disudahkan oleh Coman. — AFP