Agong rasmi Pusat Hemodialisis YASA di Setiawangsa

Agong rasmi Pusat Hemodialisis YASA di Setiawangsa

KUALA LUMPUR,. Jumlah pesakit buah pinggang memerlukan rawatan hemodialisis yang semakin meningkat dalam tempoh 10 tahun ini mendorong Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mewujudkan sebuah lagi pusat rawatan berkenaan di ibu negara.

Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Setiawangsa itu merupakan yang kedua seumpamanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas yang pertama beroperasi di Cheras pada Ogos tahun lepas.

Al-Sultan Abdullah menyedari terdapat keperluan untuk memberikan perkhidmatan hemodialisis kepada mereka yang tidak berkemampuan, khususnya daripada golongan M40 dan B40.

“Saya amat prihatin terhadap nasib rakyat dan pesakit-pesakit buah pinggang kronik yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan hemodialisis.

“Justeru, faktor-faktor inilah yang telah mendorong saya, Raja Permaisuri Agong dan anakanda-anakanda menubuhkan pusat-pusat hemodialisis bagi membantu meringankan bebanan kewangan kumpulan berkenaan,” titah Seri Paduka selepas berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Pusat Hemodialisis YASA Setiawangsa itu.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera.

Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Mengikut statistik National Renal Registry 2018, terdapat lebih 45,000 pesakit yang memerlukan rawatan hemodialisis dengan anggaran peningkatan 8,000 pesakit baharu setiap tahun.

Pusat rawatan yang dilengkapi dengan 12 mesin itu menerima dan membantu pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan dengan kos rawatan pesakit dibiayai YASA yang dahulunya dikenali sebagai sebagai Yayasan Istana Abdul Aziz, atau tajaan atau subsidi daripada badan-badan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan majikan.

“Pesakit-pesakit yang mendapat rawatan di pusat-pusat hemodialisis YASA tidak perlu membayar kos rawatan mereka, ini secara langsung dapat meringankan bebanan kewangan kepada mereka,” titah Al-Sultan Abdullah.

Kos bagi setiap rawatan hemodialisis ialah kira-kira RM150.

Yang di-Pertuan Agong turut memaklumkan sebanyak dua lagi pusat rawatan hemodialisis akan dibina di Raub dan Pekan, Pahang pada akhir tahun ini dan suku pertama tahun depan.

Al-Sultan Abdullah bertitah pemilihan dua lokasi tersebut dibuat berdasarkan faktor demografi serta syor daripada Kementerian Kesihatan selain bertujuan membantu pesakit luar bandar yang selama ini perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan berikutan jumlah pusat hemodialisis yang terhad.

Prihatin terhadap keperluan pusat rawatan hemodialisis itu, Seri Paduka menyasarkan untuk membuka sebanyak dua pusat rawatan seumpamanya setiap tahun.

Menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kesihatan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan dermawan yang membantu merealisasikan inisiatif penubuhan Pusat Hemodialisis YASA, Seri Paduka menyeru lebih ramai individu dan pihak swasta tampil membantu golongan sasaran mendapatkan rawatan hemodialisis menerusi tajaan dan subsidi rawatan, lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang melalui tempoh sukar berikutan impak pandemik COVID-19.

Al-Sultan Abdullah turut menasihati rakyat supaya sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, mengawal pemakanan harian serta mengelakkan produk-produk yang boleh memudaratkan buah pinggang.

“Hargailah kesihatan kita. Jaga apa yang kita makan dan banyakkan bersenam. Jangan minum air bergas. Kepada pesakit-pesakit yang sedang menjalani rawatan hemodialisis, saya mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan dan kesabaran kerana ini bukanlah kehidupan yang mudah, malah penuh cabaran, risiko dan komplikasi kesihatan,” titah Seri Paduka.

Pada majlis itu, Seri Paduka berdua turut berkenan beramah mesra dengan pesakit yang menerima rawatan. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)