Sathia akan buat laporan polis

KUALA TERENGGANU,. Selepas berdiam diri selama empat hari susulan komen didakwa berbaur perkauman, pengendali Selangor, B Sathianathan nekad akan membuat laporan polis hari ini.

Sathianathan berkata, laporan polis itu perlu dibuat kerana komen itu bukan sekali diterimanya sebaliknya sudah banyak kali dan beliau mengakui sudah lama menyimpan perkara itu.

Justeru katanya, laporan itu bakal memberi pengajaran berguna kepada mereka yang terbabit memberi komen negatif kepadanya dan pemain selain mahukan peminat lebih berhati-hati kerana beliau tidak mahu perkara sama kembali berulang pada masa akan datang.

“Ya saya akan buat ‘report’ di balai polis esok (hari ini) selepas saya sampai dari Terengganu, juga selepas dapat maklumat lain, setakat ini saya belum pasti lagi balai polis mana, tapi saya perlu buat laporan di Shah Alam.

“Saya kena buat (laporan polis) kerana saya dah memang malas nak dengar dan kita ni cakap tapi tak buat apa-apa..biar kita ada tindakan..ini bukannya untuk orang-orang yang ‘famous’ atau politik saja polis perlu ambil tindakan, tetapi semua.

“Sebenarnya perkara ini (komen berbaur rasis) sudah lama saya simpan dan sudah banyak kali..saya tak ada Facebook tapi orang hantar kepada saya.

“Saya ada peguam, saya ikut peguam, saya adalah rakyat Malaysia, kita sudah merdeka masuk 63 tahun patut kita sudah tahu,” ujar Sathia selepas tamat perlawanan dengan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang berkesudahan seri 3-3.

Ketika ditanya adakah komen itu menggangu tumpuannya membimbing pasukan, beliau menafikannya malah mengakui pemain tidak boikot selain berjaya memperagakan aksi cemerlang sepanjang 90 minit perlawanan.

“Tak ada (tak ganggu tumpuan)..lagipun saya tak baca..cuma orang bagi benda ni boleh ambil tindakan, jadi saya akan ambil tindakan dan saya buat ini bukan untuk dapat nama atau ada sesetengah cakap saya nak tutup kelemahan taktik, itu lain..taktik apa..kita sudah ada lima mata dalam tiga perlawanan lagipun kita main dengan pasukan yang kuat..jadi buat apa saya nak panik.

“Jika lihat pemain tiada yang boikot, semua beraksi 100 peratus..saya punya fokus ialah dengan pasukan..yang perkara ini soal peribadi,” ujarnya.

Isnin lalu bekas pengendali skuad kebangsaan itu berang selepas mendakwa terdapat komen berbaur perkauman yang dilemparkan terhadapnya dan pemain Red Giants dalam laman sosial.

Mengulas mengenai perlawanan malam tadi beliau akui keseluruhannya berpuas hati, namun akui kecewa apabila pemainnya gagal mengekalkan kelebihan gol yang dimiliki sebelum akhirnya mengutip satu mata.

“Satu mata yang berharga, yang penting kita tidak kalah kerana perlawanan ketiga ini bukan senang, nampaknya kedua-dua pasukan penat bermain kerana selang tiga hari aksi, kita sudah mendahului tiga gol sepatutnya jika kita lebih tajam kita boleh jaring dua gol lagi.

“Tapi nampaknya pemain keletihan dan sebagainya, hantaranpun salah dan ‘shooting’ pun tak pergi ke mana-mana, saya akui bukan mudah pasukan datang untuk menang, tapi kita puas hati dengan satu mata walaupun sebenarnya kita mampu mengutip tiga mata.

“Inilah bola sepak, jadi saya tidak boleh salahkan pemain, tapi pemain harus belajar daripada kesilapan terutama selepas membenarkan lawan bangkit menyamakan jaringan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )