Bincang, teliti sop covid-19 untuk jemaah haji Malaysia – Timbalan Mufti

Bincang, teliti sop covid-19 untuk jemaah haji Malaysia – Timbalan Mufti

SHAH ALAM ,. Pihak Yang berkaitan antaranya Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan Malaysia dicadang agar melakukan perbincangan serta meneliti situasi pandemik COVID-19 bagi merangka prosedur operasi standard (SOP) lengkap untuk jemaah Malaysia mengerjakan haji.

Timbalan Mufti Selangor Dato’ Dr. Anhar Opir berkata ibadah haji akan mengalami kesan signifikan dengan penularan COVID-19 seperti aspek perjalanan dan kos, justeru SOP lengkap diperlukan bagi memastikan kelancaran ibadah itu selain menjaga jemaah haji Malaysia daripada terdedah kepada pandemik tersebut.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pembimbing Ibadat Haji TH berkata SOP ini perlu dicadang bagi mengelakkan kemudaratan terhadap jemaah haji yang mana dalam kaedah Fiqh menyatakan mengelakkan mudarat itu perlu didahulukan daripada mendapatkan manafaat.

“Pandemik COVID-19 ini adalah ujian Allah yang sehingga sekarang tiada ubat, hanya SOP dapat membantu kerana itu kita sebut SOP itu perlu bagi kita jauhkan mudarat…SOP ini mungkin berbeza berdasarkan situasi tertentu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menjelaskan lebih lanjut tentang situasi itu, katanya salah satu perkara penting dalam SOP itu ialah penjarakan fizikal yang mana ia perlu dibezakan berdasarkan situasi seperti jarak antara jemaah dalam kenderaan berbeza dengan jarak di kawasan lapang ketika beribadah.

Anhar berkata selain itu SOP ketika melontar melibatkan penjarakan fizikal supaya tidak bertembung dengan kumpulan lain dan SOP ketika berada di bilik penginapan juga perlu diteliti bagi mengelakkan penularan COVID-19.

“Berada di Arafah untuk wukuf dan di Mina juga perlu SOP sendiri, tetapi di Mina contohnya jumlah jemaah tidak boleh ditambah, sedangkan penjarakan fizikal adalah perlu, ini kerana kawasan tersebut amat terhad. Ini saya cadangkan agar diteliti lebih lanjut lagi.

“Pakai pelitup muka (ketika sedang berihram haji atau umrah) kita putuskan dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan bahawa dalam situasi wabak ia diharuskan kerana ada keperluan dan hanya dikenakan dam sekali sahaja,” katanya yang mana jemaah lelaki sedang ber-ihram haji atau umrah dila-rang memakai pakaian berjahit yang menutupi tubuhnya bagi lelaki, manakala wajah bagi wanita.

Selain itu katanya pemilihan jenis ibadah haji jemaah Malaysia juga boleh dilakukan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

Beliau berkata kenaikan kos mengerjakan haji de-ngan pelaksanaan SOP mengekang COVID-19 juga harus diteliti bagi memastikan jemaah dan pengendali khidmat haji serta umrah se-perti TH tidak terbeban.

“Kalau (laksanakan) penjarakan fizikal, kapal terbang yang sebelum ini boleh muat 400 dan bas boleh muat 50 mungkin perlu bahagi dua (kapasiti penumpang) tetapi ia akan meningkatkan harga kos, ditambah lagi dengan kos kuarantin dan ujian COVID-19 serta kos-kos lain pasti akan beri kesan kepada kos keseluruhan ibadah haji,” katanya.

Anhar berkata syarat baharu untuk kebenaran mengerjakan ibadah umrah oleh Kerajaan Arab Saudi pada 1 Nov lepas boleh dijadikan gambaran untuk melihat kepada SOP mengerjakan haji selepas ini antaranya had umur jemaah 18 hingga 50 tahun.

“Kalau pendekatan atau perkara sama diguna pakai formulanya seperti umur untuk ibadah haji nanti, mungkin akan ada syarat tambahan lain seperti pengesahan kesihatan, kesan simptom seperti lakukan ujian saringan 72 jam sebelum bertolak dan lain-lain.

“Golongan berisiko mungkin akan dikenakan syarat tambahan juga sama ada pengesahan doktor dan seumpanya sekiranya melihat kebenaran ibadah umrah baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata mereka yang berkemampuan daripada segi kewangan untuk mengerjakan haji tetapi tidak mempunyai kemampuan daripada segi kesihatan tetap wajib mengerjakan haji dengan menggunakan kaedah badal haji.

“Seorang yang tidak mampu duduk lama dalam kenderaan kerana perjalanan yang sangat jauh beribu kilometer, ambil tujuh hingga lapan jam, jadi orang yang fizikal tidak baik mereka termasuk golongan tidak mampu, maka tidak wajib haji dengan diri sendiri, tetapi kalau ada kemampuan kewangan dia wajib haji dengan upah orang lain atau badal haji,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )