Damok sedia gegar litar perlumbaan GP Sepanyol dan Portugal

KUALA LUMPUR,. Pelumba negara Syarifuddin Azman bersedia untuk menggegar litar antarabangsa selepas diberikan peluang membuat penampilan dalam pasukan Rivacold Snipers Team pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia 2022 hujung bulan ini.

Syarifuddin lebih dikenali sebagai Damok yang beraksi atas tiket ‘wildcard’ akan membuat penampilan itu dalam kelas Moto3 dalam dua pusingan perlumbaan membabitkan Grand Prix (GP) Portugal pada 22 hingga 24 April ini sebelum mengharungi perlumbaan GP Sepanyol pada 29 April hingga 1 Mei depan.

Damok dipilih bagi menggantikan pelumba Moto3, Alberto Surra yang masih bergelut dengan kecederaan serius yang dialami ketika sesi latihan bebas GP Amerika Syarikat pada 10 April lepas.

“Saya dapat tahu berita mengenai penyertaan dalam kejuaraan Moto3 daripada pengurus pasukan Sepang International Circuit (SIC) Racing Team, Zulfahmi Khairuddin. Pada mulanya, saya rasa tidak percaya namun sangat teruja untuk berlumba di Portimao hujung minggu ini,” katanya dalam sidang media yang diadakan secara maya pada Rabu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berharap agar pelumba kebangsaan itu dapat menampilkan aksi yang terbaik pada perlumbaan itu.

“Kita yakin dengan kemampuan Damok… jadi sasaran untuk tahun ini, sekurang-kurangnya dapat 15 mata ke atas itu adalah terbaik,” katanya.

Damok sebelum ini pernah mengharumkan nama negara apabila muncul juara dalam perlumbaan pertama Moto3 Junior World Championship FIM CEV Repsol pada tahun lepas di Barcelona, Sepanyol.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )