Pendatang Tanpa Izin Filipina Di Sabah Dihantar Pulang Mulai 30 Jun

Pendatang Tanpa Izin Filipina Di Sabah Dihantar Pulang Mulai 30 Jun

PUTRAJAYA,. Sebanyak 5,280 pendatang tanpa izin Filipina di Sabah akan dihantar pulang ke negara asal mereka mulai 30 Jun ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setakat ini, katanya kerajaan telah menghantar pulang sebanyak 672 pendatang tanpa izin Indonesia yang berada di negeri itu.

“Kesemua pendatang tanpa Izin berkenaan telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan negatif sebelum dihantar pulang, ” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata sehingga kini, kerajaan telah menghantar lebih 2,500 pendatang tanpa izin pulang ke Indonesia manakala 4,200 orang lagi dalam proses untuk dihantar pulang.

Dalam usaha untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin, katanya pihak berkuasa seperti polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperhebat Operasi Benteng untuk mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi terutama di lorong-lorong tikus.

Sejak 1 Mei sehingga semalam, sebanyak 1,057 pendatang tanpa izin dan 188 tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama di lorong-lorong tikus.

Dalam tempoh itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 63 individu yang disyaki penyeludup ditahan manakala 32 buah kapal disita.

Beliau berkata polis juga telah membuat 68 sekatan jalan raya Operasi Benteng dan memeriksa 36,896 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus.

“Dalam operasi semalam polis berjaya menahan enam warga asing di sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyeludupan masuk pendatang tanpa izin,” katanya.- BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )