Nidzam akui cemas kebangkitan Melaka
KUANTAN,. Pengendali FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil mengakui cemas sebelum kelab itu mencatat kemenangan 3-2 ke atas Melaka United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, malam tadi.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, keadaan cemas itu berlaku pada 10 minit terakhir perlawanan selepas lawan melakukan kebangkitan luar biasa.
“Namun, saya bersyukur kerana semua pemain berjaya mengawal permainan biarpun lawan berjaya menjaringkan dua gol di penghujung perlawanan.
“Saya akui tidak gembira dengan dua gol dibolosi ketika selesa mendahului 3-0 tetapi kemenangan yang diraih ini cukup bermakna buat pasukan.
“Oleh itu, segala kekurangan dipersembahkan malam ini akan cuba diperbaiki untuk memastikan prestasi The Fighters kekal konsisten,” katanya.
Sementara itu, pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan kecewa dengan prestasi skuadnya yang gagal meneruskan momentum kemenangan.
Katanya, biarpun berjaya melakukan kebangkitan dan mendapat dua gol, ia sudah terlambat ketika lawan berusaha mengekalkan kelebihan yang dmiliki.
“Saya sedih kerana kami gagal untuk mengutip mata di sini selepas prestasi baik dipersembahkan dalam dua perlawanan sebelum ini. Prestasi pasukan menurun secara mendadak dan dua gol awal FELDA United banyak memberi kesan walaupun pemain cuba bangkit di penghujung perlawanan,” katanya.
Pada perlawanan itu, tiga gol The Fighters, masing-masing dua dijaringkan Nicolas Velez pada minit ketujuh dan 63 dan satu gol oleh Khairul Amri Kamal (m-15) manakala dua gol Melaka, masing-masing satu oleh Romel Morales (m-81) dan Uche Agba (m-88).