Pelajar tahfiz Hulu Langat mungkin dijangkiti daripada individu sertai himpunan tabligh

Pelajar tahfiz Hulu Langat mungkin dijangkiti daripada individu sertai himpunan tabligh

PUTRAJAYA,. Punca pelajar Maahad Tahfiz AnNabawiyyah, Batu 23, Hulu Langat, Selangor dijangkiti Covid-19 berkemungkinan daripada individu yang menyertai perhimpunan jemaah tabligh.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selepas sebulan, individu itu juga berkemungkinan menyebarkan virus itu kepada penduduk Kampung Sungai Lui memandangkan ada antara mereka yang dikesan positif.

“Kementerian Kesihatan masuk ke kampung berkenaan dua hari lalu dan (mendapati) kes positif Covid-19 pelajar tahfiz meningkat kepada 91 kes,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 300 ujian saringan Covid-19 dibuat setiap hari ke atas penduduk kampung itu.

Katanya, berikutan jumlah penduduk di situ kira-kira 3,000, pihaknya akan menyelesaikan ujian berkenaan dalam tempoh 10 hari.

“Ia diuji di lima kampung termasuk dua kampung Orang Asli,” katanya.

Semalam kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD itu melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

Perintah berkuatkuasa mulai 30 Mac hingga 13 April itu melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )