
MYDIN martabatkan produk keluaran Malaysia ‘Lokal Lagi Gempak’,
SUBANG JAYA,. Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) mengukuhkan komitmennya dalam memartabatkan produk keluaran Malaysia dengan melancarkan kempen ‘Lokal Lagi Gempak’, yang diadakan bersempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Kempen tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh, di MYDIN USJ, Subang Jaya, kelmarin.
Bertujuan memperkukuh minat pengguna terhadap barangan tempatan, kempen itu menampilkan pelbagai promosi dan aktiviti bagi menggalakkan pembelian produk keluaran tempatan serta meningkatkan keterlihatan dan daya saing usahawan tempatan dalam pasaran runcit.
Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin, berkata bahawa memperkasakan produk tempatan telah lama menjadi keutamaan utama syarikat.
“Kami menyediakan peluang sama rata kepada semua usahawan tempatan tanpa mengira saiz perniagaan.
“Yang penting ialah kualiti produk dan kemampuan memenuhi permintaan pelanggan.
“Tahun ini, kami menjangkakan peningkatan jualan sebanyak 15 peratus bagi produk tempatan, khususnya daripada PKS dan perusahaan mikro,” katanya.
Kempen ‘Lokal Lagi Gempak’ akan berlangsung di semua cawangan MYDIN seluruh negara sehingga 31 Disember 2025.
