Gamuda berjaya menyiapkan pakej Black Hill ke Tomago  pertama di Australia

Gamuda berjaya menyiapkan pakej Black Hill ke Tomago pertama di Australia

PETALING JAYA,. John Holland Gamuda Joint Venture berjaya menyiapkan pakej Black Hill ke Tomago sepanjang 10 kilometer bagi projek lanjutan Lebuhraya M1 Pacific ke Raymond Terrace, Australia, lebih awal daripada jadual.

Pencapaian itu menandakan projek jalan raya pertama Gamuda di Australia berjaya disiapkan sejak syarikat berkenaan membuka operasi tempatan pada Mac 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Australia Ewan Yee, berkata penyiapan pakej berkenaan lebih awal daripada jadual merupakan pencapaian penting bagi kumpulan itu dan pasukannya.

“Projek jalan raya ini membuktikan kekuatan model pelaksanaan kami, ketepatan kejuruteraan serta komitmen tinggi terhadap pembangunan infrastruktur Australia.

“Kami berterima kasih kepada Transport for New South Wales (NSW) dan rakan kongsi kami, John Holland, atas kerjasama dalam menjayakan projek ini yang menjadi penanda aras tinggi bagi projek kami yang sedang dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.

Bahagian baharu sepanjang 10 kilometer dari Black Hill ke Tomago itu merupakan sebahagian daripada projek lanjutan Lebuhraya M1 Pacific ke Raymond Terrace yang turut merangkumi jejambat sepanjang 2.6 kilometer merentasi Sungai Hunter dan kawasan dataran banjir, Laluan Kereta Api Utama Utara serta Lebuhraya New England.

Projek lebih besar itu dijangka menyediakan laluan berterusan sepanjang 15 kilometer antara Black Hill dan Raymond Terrace, dengan laluan berkenaan dijadual dibuka kepada trafik pada September 2026.

Pembukaan laluan itu dijangka memberi manfaat segera kepada pengguna jalan raya yang melakukan perjalanan ke dan melalui wilayah Hunter.

Projek berkenaan dibiayai bersama oleh kerajaan Australia dan New South Wales dengan nilai pelaburan keseluruhan AUD2.24 bilion.

Sebahagian besar pergerakan di persimpangan dijangka tersedia apabila lebuh raya dibuka, manakala sambungan yang masih berbaki di persimpangan Tarro akan dibuka secara berperingkat dalam beberapa minggu berikutnya.

Sejak mengembangkan operasi ke Australia pada 2019, Gamuda telah mengembangkan operasinya menerusi hab utama di Sydney dan Melbourne, dengan menggabungkan kepakaran kejuruteraan global kumpulan itu bersama tenaga kerja tempatan.

Selain projek lanjutan Lebuhraya M1, portfolio Gamuda di Australia turut merangkumi projek terowong rel, stesen dan tenaga boleh diperbaharui. Kumpulan itu juga kini sedang melaksanakan projek Coffs Harbour Bypass.

Projek M1 yang lebih besar itu dijangka mengurangkan sehingga 25,000 kenderaan sehari daripada laluan yang menjadi titik kesesakan utama apabila beroperasi sepenuhnya.

CATEGORIES
Share This