
MYDIN; Kempen Beli Barangan Malaysia 2025 dilancarkan
SUBANG JAYA,. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh, telah merasmikan pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 bertemakan ‘Lokal Lagi Gempak’, dengan kerjasama Mydin Mohamad Holdings Sdn Bhd (MYDIN) kelmarin di MYDIN USJ, Subang Jaya.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuhkan ekonomi negara dan memperkasakan produk tempatan.
Inisiatif ‘Lokal Lagi Gempak’ di bawah KBBM menzahirkan dedikasi MYDIN dalam menyokong usaha Kerajaan memperluas keterlihatan dan kebolehpasaran produk keluaran Malaysia.
Selain menyediakan ruang pasaran, MYDIN turut berperanan sebagai saluran komunikasi dan promosi yang berkesan untuk mengetengahkan barangan tempatan kepada pengguna, sekali gus membantu usahawan tempatan menembusi pasaran lebih luas.
Selaras dengan matlamat ini, KBBM 2025 dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan 18 rakan industri, termasuk pasar raya besar dan tiga platform e-dagang.
Jalinan kerjasama ini meneruskan sokongan sebelum ini dan menjadi pemangkin kepada kejayaan KBBM melalui pelaksanaan inisiatif strategik dalam rangkaian peruncitan fizikal dan platform pemasaran dalam talian.
Majlis pelancaran turut menyaksikan 20 syarikat menerima Sijil Penghargaan Rakan Strategik IKS MYDIN sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam mempromosi dan memasarkan produk tempatan.
Daripada jumlah tersebut, 10 syarikat merupakan perusahaan tempatan yang berdaftar sebagai usahawan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), suatu perkembangan yang sangat membanggakan.
Program selama tiga hari itu berlangsung dari 20 hingga 23 November, menampilkan pelbagai promosi menarik, pameran produk tempatan dan tawaran harga istimewa di semua rangkaian MYDIN yang mengambil bahagian di seluruh negara.
