
Jelajah Generasi Pintar: MYDIN terus komited membantu keluarga kurang berkemampuan
KUALA LUMPUR,. Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), dengan sokongan rakan kerjasama Abaro, meneruskan komitmennya membantu keluarga kurang berkemampuan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jelajah Generasi Pintar, dengan menyalurkan bantuan persekolahan bagi sesi 2026 kepada lebih 1,000 pelajar daripada golongan B40 di seluruh negara.
Pengarah Urusan MYDIN Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin berkata, setiap pelajar yang terpilih menerima kelengkapan persekolahan lengkap merangkumi pakaian seragam, alat tulis, beg sekolah serta keperluan asas lain, bagi memastikan mereka dapat memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih yakin dan bersemangat.
Menurut beliau, program tahunan itu dilaksanakan dengan kerjasama wakil-wakil rakyat setempat bagi memastikan bantuan diagihkan secara bersasar kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap sumbangan memberi impak maksimum, khususnya kepada keluarga yang berdepan kekangan kewangan dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak,” katanya.
Program CSR berkenaan turut mendapat sokongan kerajaan negeri apabila Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari, hadir menyempurnakan majlis penyerahan bantuan kepada 50 murid di MYDIN Subang Jaya pada Selasa.
Kehadiran beliau mencerminkan sokongan berterusan pihak kerajaan negeri terhadap inisiatif sektor swasta dalam memperkasa kebajikan dan pendidikan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Siri Jelajah Generasi Pintar ini akan diteruskan di beberapa lagi cawangan MYDIN di seluruh negara, antaranya di Kuala Terengganu (Terengganu), Tunjong (Kelantan), Samariang (Sarawak), Jengka (Pahang) dan MiTC (Melaka), bagi memastikan manfaat program dapat dinikmati oleh pelajar di pelbagai negeri.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif MYDIN Prihatin, iaitu platform CSR MYDIN yang dilaksanakan bersama rakan strategik perniagaan dan pembekal, dengan fokus menyantuni golongan memerlukan melalui pelaksanaan inisiatif kebajikan dan pendidikan secara berterusan.
Melalui usaha ini, MYDIN terus menegaskan peranannya bukan sahaja sebagai peruncit tempatan utama, tetapi juga sebagai rakan masyarakat dalam menyokong pembangunan pendidikan dan kesejahteraan generasi masa depan.
