
KPJ HEALTHCARE LANCAR KPJ CARE NETWORK, PERKUKUH TRANSFORMASI KE ARAH SISTEM KESIHATAN BERSEPADU
KUALA LUMPUR,. KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melancarkan KPJ Care Network, satu inisiatif utama dalam usaha transformasi ke arah sistem penjagaan kesihatan bersepadu yang bertujuan meningkatkan akses pesakit kepada perkhidmatan pakar serta memastikan kesinambungan penjagaan di semua kemudahannya di seluruh negara.
KPJ Healthcare dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif yang diperkenalkan di bawah KPJ Health System (KPJHS) itu menandakan peralihan daripada rangkaian hospital ke arah satu sistem kesihatan bersepadu, sekali gus membolehkan pesakit mendapatkan akses kepada kepakaran perubatan di seluruh Kumpulan tanpa mengira fasiliti KPJ pertama mereka mula mendapatkan rawatan.
Fasa pertama inisiatif itu melibatkan pengenalan Platform eReferral KPJ, iaitu sistem digital yang memudahkan proses rujukan antara kemudahan KPJ serta membolehkan pengamal perubatan am (GP) berdaftar merujuk pesakit kepada perkhidmatan pakar menerusi proses yang tersusun dan boleh dijejaki.
KPJ Healthcare memaklumkan lebih daripada 3,600 GP telah mendaftar pada platform berkenaan manakala laluan penjagaan dan perkhidmatan tambahan akan diperkenalkan secara berperingkat seiring dengan peluasan rangkaian itu.
Inisiatif itu juga akan memperkukuh model Hub and Spoke, yang menempatkan kepakaran khusus dan keupayaan perubatan canggih bagi menangani kes kompleks di pusat Hub yang ditetapkan manakala pusat Spoke menyediakan perkhidmatan rawatan rutin, susulan dan penjagaan berterusan.
Menerusi model itu, pesakit boleh dirujuk antara Hub and Spoke mengikut keperluan klinikal mereka, sekali gus membolehkan mereka menerima rawatan pakar sambil memastikan kesinambungan penjagaan kesihatan yang lebih dekat dengan tempat tinggal.
Pengerusi Majlis Penasihat Integrasi Strategik KPJ Health System Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata rangkaian itu akan membolehkan KPJ memperluas keupayaan klinikal secara kolektif melangkaui kemudahan hospital individu.
“Jika KPJ Health System mentakrifkan aspirasi kami sebagai sebuah institusi, KPJ Care Network pula menentukan sejauh mana kecemerlangan itu dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata KPJ Care Network mencerminkan perubahan asas dalam pendekatan KPJ terhadap rangkaian kemudahannya di seluruh negara, sekali gus membolehkan kekuatan kolektif Kumpulan dimanfaatkan oleh pesakit di luar kemudahan tempat mereka mula-mula mendapatkan rawatan.
“Akses seseorang pesakit kepada kepakaran dalam KPJ tidak seharusnya ditentukan semata-mata berdasarkan kemudahan tempat beliau mula-mula mendapatkan rawatan. Menerusi KPJ Health System dan KPJ Care Network, kami berhasrat menjadikan kecemerlangan klinikal lebih mudah diakses, selain membangunkan sebuah institusi yang berkhidmat untuk generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid berkata rangkaian penjagaan kesihatan itu akan membolehkan perunding pakar perubatan dan rakan kongsi penjagaan kesihatan bekerjasama secara lebih sistematik merentasi sempadan organisasi.
Beliau berkata akses tepat pada masanya kepada kepakaran pakar, komunikasi berkesan antara doktor serta penyelarasan yang sewajarnya sepanjang proses rujukan adalah perkara penting bagi memastikan hasil klinikal yang baik.
“KPJ Care Network menyediakan kaedah yang tersusun untuk perunding pakar perubatan dan pengamal perubatan am bekerjasama, dengan keselamatan pesakit dan pertimbangan klinikal menjadi panduan dalam setiap keputusan,” katanya.
Ketika ini, KPJ Healthcare mengendalikan 29 hospital, tiga Ambulatory Care Centres, empat premis runcit penjagaan kesihatan KPJ HealthShoppe dan lebih daripada 30 cawangan makmal diagnostik Lablink di seluruh negara, dengan sokongan kira-kira 1,500 perunding pakar perubatan.
Rangkaian itu juga akan disepadukan secara berperingkat dengan KPJ Cares, platform penjagaan kesihatan digital Kumpulan yang ketika ini menawarkan perkhidmatan, termasuk tempahan janji temu dan akses kepada perkhidmatan farmasi elektronik menerusi EZpilZ.
Menurut kenyataan itu, penambahbaikan pada masa hadapan akan merangkumi ciri-ciri yang berfokuskan pesakit seperti maklumat kesihatan dan bahan pendidikan bagi membantu pengguna mengurus keperluan penjagaan kesihatan mereka serta terus berhubung dengan KPJ sepanjang perjalanan rawatan mereka.
Kumpulan itu memaklumkan inisiatif berkenaan akan menghimpunkan Pusat Kecemerlangan, KPJ Healthcare University, Future Health Institute serta keupayaan digital di bawah satu sistem penjagaan kesihatan yang saling berhubung, dengan laluan penjagaan tambahan akan diperkenalkan secara berperingkat.
— BERNAMA
