ICW ke-27 memperkukuh inovasi dan kelestarian sektor pembinaan

ICW ke-27 memperkukuh inovasi dan kelestarian sektor pembinaan

KUALA LUMPUR,. Malaysia telah memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam memacu inovasi dan kelestarian dalam sektor pembinaan dengan pelancaran International Construction Week (ICW) ke-27 dan edisi ketiga BuildXpo di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, pada Rabu.

Dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) serta dirangkaikan bersama CIDB Malaysia dan Qube Integrated Malaysia, acara ini telah menghimpunkan lebih 1,000 delegasi, termasuk wakil kanan dari ASEAN, China dan Timur Tengah, di samping pemain industri tempatan, institusi akademik dan agensi kerajaan.

Semasa upacara perasmian, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata penganjuran acara ini berlangsung pada detik penting bagi negara ketika Malaysia memegang Kepengerusian ASEAN pada tahun 2025.

“ICW tahun ini berlangsung pada saat yang sangat signifikan selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025. Bertemakan “Constructing the Future of ASEAN”, acara ini mencerminkan aspirasi bersama untuk membina rantau yang mampan, digital dan inklusif,” katanya.

Beliau menekankan keperluan pelaburan infrastruktur ASEAN yang dianggarkan berjumlah USD 2.8 trilion bagi tempoh 2016 hingga 2030 menurut Bank Pembangunan Asia (ADB), dan turut menegaskan bagaimana Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026–2030 menyelaraskan matlamat serantau dengan piawaian kelestarian global.

Nanta turut menyatakan pertumbuhan positif dalam negara, dengan sektor pembinaan merekodkan peningkatan 14.7 peratus pada separuh pertama 2025, didorong terutamanya oleh pelaburan sektor swasta.

Beliau juga mengetengahkan inisiatif baharu yang dilancarkan semasa acara ini termasuk Indeks Pengurusan Digital Pembinaan (CDMI) serta pensijilan dan platform inovasi berfokuskan kelestarian bagi mempercepat transformasi industri selari dengan dasar nasional.

“Ketika kita melangkah ke fasa baharu kerjasama ASEAN dan pembaharuan negara, ICW & BuildXpo 2025 menjadi platform di mana idea diterjemahkan kepada tindakan dan kerjasama menjana kemajuan,” katanya.

Pengerusi CIDB Dato Ir Yusuf Abd. Wahab berkata penyertaan antarabangsa yang kukuh telah mengukuhkan peranan ICW sebagai platform utama serantau untuk perkongsian dan kerjasama.

“ICW 2025 bukan sekadar pameran; ia merupakan hab ilmu yang hidup, mengumpulkan profesional industri, pendidik dan inovator untuk berkongsi idea, meneroka teknologi serta mencetuskan kerjasama,” jelasnya.

Beliau menegaskan komitmen CIDB bagi memacu agenda transformasi melalui tiga keutamaan iaitu peningkatan penggunaan alat digital seperti BIM dan automasi, penekanan yang lebih kuat terhadap pembinaan hijau serta pembangunan bakat merentas industri khususnya dalam kalangan belia dan wanita.

Menerusi Pelan Hala Tuju Construction 4.0, CIDB menyasarkan Malaysia akan terus kekal sebagai peneraju serantau dalam produktiviti, kelestarian dan kualiti pembinaan bertaraf tinggi.

Majlis perasmian turut menyaksikan pelancaran Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Malaysia 2030 oleh KKR, pemerkasaan Program CDMI dan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara CIDB dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) yang memberi tumpuan kepada kualiti, keselamatan dan kelestarian dalam pembangunan perumahan.

ICW & BuildXpo 2025 turut meneruskan momentum daripada ICW Borneo 2025 yang diadakan di Kuching pada Mei lalu, menampilkan peranan Sarawak sebagai hab pembinaan serantau yang semakin berkembang.

Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia, Richard Teo berkata pihaknya akan terus memperluas keterlihatan BuildXpo di pentas antarabangsa, dengan kerjasama bersama GlassTech Asia & Fenestration Asia (GAFA) 2026 menjadi satu pencapaian penting.

CATEGORIES
Share This