SEKRETARIAT GLOBAL AFPPD MALAYSIA PEMANGKIN PERUNDANGAN LEBIH BAIK, INSTITUSI LEBIH KUKUH – NANTA

SEKRETARIAT GLOBAL AFPPD MALAYSIA PEMANGKIN PERUNDANGAN LEBIH BAIK, INSTITUSI LEBIH KUKUH – NANTA

KUALA LUMPUR,. Penubuhan Sekretariat Global Forum Ahli Parlimen Asia mengenai Kependudukan dan Pembangunan (AFPPD) di Malaysia, dijangka berfungsi sebagai pemangkin kepada perundangan yang lebih baik, institusi yang lebih kukuh, peluang yang lebih meluas untuk golongan muda serta martabat yang lebih tinggi untuk populasi menua.

Menteri Kerja Raya yang juga Presiden AFPPD Malaysia Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sekretariat baharu itu, mencerminkan peranan Malaysia yang semakin berkembang dalam organisasi tersebut, selepas negara-negara anggota yang lain memberi kepercayaan kepada negara ini untuk memikul tanggungjawab sebagai tuan rumah pada tahun 2025.

Nanta berkata pejabat Sekretariat Global AFPPD yang baharu di Kuala Lumpur akan dirasmikan esok, menandakan pencapaian penting dalam peranan Malaysia yang semakin meluas dalam AFPPD.

“Kejayaan Sekretariat ini tidak akan sesekali diukur oleh pembinaan itu sendiri. Ia akan diukur melalui idea-idea yang dijananya, perkongsian yang dibinanya dan kehidupan yang diperbaikinya.

“Ia mesti menjadi pemangkin kepada perundangan yang lebih baik, institusi yang lebih kukuh, peluang yang lebih meluas untuk golongan muda, dan martabat yang lebih tinggi untuk populasi menua,” katanya dalam ucapan alu-aluannya pada Persidangan Tahunan AFPPD 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Pengerusi AFPPD Kamikawa Yoko, serta Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merangkap Timbalan Pengarah Eksekutif Dana Kependudukan PBB (UNFPA) Pio Smith.

Nanta berkata usaha ke arah menjadikan Malaysia memainkan peranan yang lebih besar dalam AFPPD bermula pada 2024, susulan perbincangan dengan Profesor Keizo Takemi semasa Persidangan Antarabangsa mengenai Kependudukan dan Pembangunan di Tokyo.

Idea tersebut seterusnya berkembang menjadi satu bidaan yang berjaya, dengan negara-negara anggota AFPPD memberi kepercayaan kepada Malaysia untuk memikul tanggungjawab sebagai tuan rumah Sekretariat Global pada 2025.

Berucap mengenai cabaran demografi, Nanta berkata populasi di seluruh dunia sedang menua pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini, satu realiti yang menuntut cara pemikiran dan dasar baharu yang berkembang seiring dengan perubahan demografi.

“Penuaan tidak seharusnya dilihat sebagai satu beban untuk diuruskan. Ia mesti diiktiraf sebagai bukti kemajuan manusia dan cerminan penjagaan kesihatan yang lebih baik, taraf hidup yang lebih tinggi, serta jangka hayat yang lebih panjang.

“Ekonomi penjagaan tidak seharusnya dianggap sekadar perbincangan dasar semata-mata, tetapi sebagai ukuran kemanusiaan dan bagaimana masyarakat melindungi maruah mereka yang bergantung kepada sokongan orang lain, termasuk kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya, dan keluarga yang rentan,” katanya.

Nanta berkata Malaysia, melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Rangka Kerja Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030 yang baharu dirangka, sedang mengambil langkah-langkah yang teliti untuk bersiap sedia menghadapi masyarakat menua, memperkukuh pembangunan belia, mempercepat transformasi digital dan meningkatkan kualiti hidup.

Persidangan dua hari itu, yang bertemakan Kepimpinan Parlimen untuk Masa Depan: Pendekatan Seluruh Masyarakat terhadap Ekonomi Penjagaan dan Daya Tahan Demografi itu menghimpunkan ahli-ahli parlimen dari Asia, Pasifik, Afrika dan dunia Arab.

Sementara itu, Awang Bemee dalam ucapan perasmian persidangan tersebut berkata perubahan demografi perlu ditangani sebagai satu cabaran tadbir urus, yang memerlukan pertimbangan demografi jangka panjang kekal sebagai sebahagian daripada proses pembuatan keputusan negara.

Beliau berkata populasi menua, struktur keluarga yang berubah-ubah, kadar kesuburan yang menurun, migrasi dan peningkatan pembandaran, mempunyai implikasi terhadap penjagaan kesihatan, pasaran buruh, sistem pencen, kewangan awam dan kualiti hidup rakyat, lantas memerlukan sumber yang mencukupi, dasar kerajaan yang diselaraskan serta perundangan yang selari.

Awang Bemee berkata perhatian yang lebih besar juga harus diberikan kepada ekonomi penjagaan, memandangkan saiz keluarga yang semakin kecil, jangka hayat yang lebih panjang dan pengaturan tempat tinggal yang berubah-ubah semakin memberi tekanan kepada peranan tradisional keluarga dalam menyediakan penjagaan.

Beliau berkata daya tahan demografi memerlukan pendekatan menyeluruh masyarakat, memandangkan isu penuaan dan penurunan kadar kesuburan saling berkaitan dengan pekerjaan, perumahan, pendidikan, penjagaan kanak-kanak dan perlindungan sosial, manakala negara-negara berbeza boleh belajar daripada satu sama lain walaupun berdepan dengan realiti demografi yang tersendiri.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This