UiTM FC buru kelompok enam pasukan terbaik Liga Super
KUALA LUMPUR,. Pasukan UiTM FC menyasarkan kutipan satu mata apabila berdepan Sabah pada aksi terakhir Liga Super bagi memastikan pasukan berkenaan dapat menamatkan saingan liga dalam kelompok enam pasukan terbaik pada musim ini.
Ketua pasukan UiTM FC Muhd Faizal Mohd Arif mengakui keputusan seri menentang skuad Tambadau amat penting bagi pasukan berkenaan bagi mengelak pertemuan dengan pasukan pilihan menerusi undian Piala Malaysia yang bakal diadakan pada 1 Nov ini.
“Jika kami mampu menang atau sekurang-kurangnya seri, saya rasa peluang kami mungkin lebih baik dalam saingan Piala Malaysia kerana di pusingan awal, kami dapat mengelak pasukan-pasukan pilihan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL hari ini.
“Saya tidak kata memandang rendah saingan pasukan dari balang kedua itu nanti cuma setidak-tidaknya situasi itu akan memberikan sedikit kelegaan pada kami serta tidak merasai tekanan yang tinggi untuk mencari kemenangan,” jelas Muhd Faizal.
Perlawanan Sabah dan UiTM FC yang sepatutnya berlangsung pada 18 Okt terpaksa dipinda ke 31 Okt berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan aksi itu akan berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam.
Pindaan itu merupakan kali kedua selepas perlawanan asal sepatutnya berlangsung pada 10 Okt di Stadium Likas, Kota Kinabalu, namun kes COVID-19 mendadak yang dicatat di Kota Kinabalu menyaksikan perlawanan itu tidak dapat diadakan di sana.
UiTM FC menduduki tangga kelapan dengan kutipan 14 mata, manakala Sabah di kedudukan ke-10 menerusi kutipan sembilan mata daripada 10 perlawanan.
Format Piala Malaysia musim ini terpaksa diubah daripada perlawanan peringkat kumpulan, kepada saingan kalah mati bermula pusingan pertama hingga ke aksi separuh akhir susulan penularan COVID-19.
Pusingan pertama Piala Malaysia akan berlangsung pada 6-8 Nov, disusuli aksi suku akhir (12-13 Nov), separuh akhir (17 Nov), serta aksi final pada 22 Nov ini.
— BERNAMA