Henti berpolitik, fokus bantu kerajaan pulih ekonomi, cegah COVID-19

Henti berpolitik, fokus bantu kerajaan pulih ekonomi, cegah COVID-19

KUALA LUMPUR,. Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap semua ahli politik tanpa mengira ideologi memberi fokus kepada usaha membantu kerajaan dan penjawat awam dalam menangani penularan COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata ahli politik perlu mengetepikan perbezaan ideologi dan perbalahan mereka buat sementara waktu bagi menjayakan usaha kerajaan dan penjawat awam mencegah penularan COVID-19 serta melaksanakan pelbagai agenda program memulihkan ekonomi negara.

“Ahli politik boleh duduk berbincang sesama sendiri tentang cara terbaik untuk membantu rakyat yang kini semakin tertekan dengan situasi semasa politik dan peningkatan kes COVID-19 yang dicatatkan setiap hari.

“Sekiranya negara terus terjerumus dengan pertikaian politik yang tidak berkesudahan, usaha untuk mencegah penularan COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara ini tidak akan dapat dilaksanakan,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Malah, Adnan juga bimbang jika perkara itu berterusan, motivasi kerja penjawat awam terutama petugas barisan hadapan akan luntur kerana merasakan terpaksa melakukan kerja-kerja yang tiada berkesudahan tanpa sokongan daripada semua pihak.

Sementara itu, beliau turut menasihati penjawat awam agar tidak terlibat dalam pergelutan politik ketika ini dan menetapkan fokus sepenuhnya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

“Walau apa jua tekanan dan cabaran yang dihadapi ketika ini, Cuepacs yakin penjawat awam mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing tanpa dipengaruhi oleh kemelut politik ketika ini,” katanya.

Dalam kenyataan itu Adnan turut menjunjung kasih atas pertimbangan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam membuat keputusan penting berkaitan kesejahteraan dan keamanan negara.

Semalam, Al-Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk isytihar darurat di negara ini, setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.

Seri Paduka merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak COVID-19 ini dengan baik dan berkesan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )