Pejuang patuh titah Agong agar politik Malaysia stabil – Dr Mahathir
KUALA LUMPUR,. Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengambil pendirian untuk patuh kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menghentikan ‘politiking’ (mainan politik) supaya politik di Malaysia menjadi stabil.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pejuang menyambut baik nasihat Seri Paduka itu dan berharap ia bukan sahaja terhad kepada ahli politik pembangkang sahaja malah di pihak kerajaan.
“Pejuang tetap akan patuh kepada nasihat Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong supaya politik di Malaysia menjadi stabil. Pejuang sanggup bekerjasama dalam usaha semua pihak menangani ancaman wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Dr Mahathir berkata pihaknya turut mengalu-alukan keputusan Al-Sultan Abdullah bersama Raja-raja Melayu untuk tidak mengisytiharkan darurat di Malaysia.
“Sebagai pemimpin Pejuang yang belum didaftar, saya ingin menyatakan kesyukuran kami dan junjung kasih kami kepada Ke bawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang telah utamakan kepentingan rakyat dengan membuat keputusan yang bijak terhadap cadangan mengisytihar darurat di negara tercinta ini,” tambahnya.
Al-Sultan Abdullah semalam bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.
Seri Paduka bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-raja Melayu, selain melihat situasi semasa di negara ini.
— BERNAMA