Keluarga Altantuya gagal peroleh kenyataan diambil polis berkaitan kes bunuh model itu

Keluarga Altantuya gagal peroleh kenyataan diambil polis berkaitan kes bunuh model itu

PUTRAJAYA,. Mahkamah Tinggi pada Rabu menolak permohonan keluarga Altantuya Shaariibuu, model Mongolia yang dibunuh pada 2006, untuk mendapatkan kenyataan diambil daripada mereka yang disiasat polis dalam kes itu untuk digunakan dalam saman sivil.

Bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev, isteri dan dua cucu lelakinya memfailkan saman RM100 juta terhadap dua bekas anggota polis iaitu Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda serta kerajaan Malaysia pada 4 Jun 2007.

Peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo memaklumkan pemberita bahawa Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang merupakan hakim perbicaraan dalam kes sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam, memutuskan bahawa kenyataan itu telah diambil secara rahsia dan bagi tujuan perbicaraan jenayah.

Sangeet berkata hakim itu juga berkata pendedahannya boleh memudaratkan sebarang siasatan lanjut pada masa akan datang.

“Hakim itu berkata tiada izin diberikan mereka yang memberi kenyataan dan permohonan tersebut adalah tidak relevan kerana maklumat yang dicari oleh keluarga Altantuya akan diperoleh daripada rekod kes jenayah,” kata peguam itu selepas Vazeer membuat keputusan tersebut dalam kamar memandangkan beliau telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Sangeet berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada ingin merayu atau tidak terhadap keputusan itu.

“Ia adalah satu permohonan yang unik kerana pada dasarnya kami meminta agar keseluruhan kertas siasatan mengenai kesalahan jenayah didedahkan untuk digunakan dalam perbicaraan sivil,” katanya.

Setakat ini, 10 saksi bagi keluarga Altantuya telah memberi keterangan dalam kes sivil yang bermula pada Januari 2019.

Dr Shaariibuu dan isterinya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dibuang selepas dia meninggal dunia pada 2017.

Dalam penyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka menerima ganti rugi teladan dan teruk.

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya, 28, pada 2006 namun beliaun telah dibebaskan daripada pertuduhan pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri manakala Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada pertuduhan namun keputusan itu telah diubah oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 susulan rayuan pendakwaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )