Tukar posisi, Sigurdsson – Carlo Ancelotti
LONDON,. Gylfi Sigurdsson menyangka pengendali Everton Carlo Ancelotti bergurau apabila berkata yang dia membayangkan pemain tengah itu bermain di posisi lebih ke bawah.
Pemain Iceland itu, biasanya sebagai nombor 10, diletakkan di barisan tengah oleh pengendali sementara Duncan Ferguson ketika kemenangan ke atas Chelsa sehari selepas Marco Silva dipecat pada Disember.
Apabila Ancelotti mengambil alih pasukan dua minggu kemudian, ia perkara pertama dibangkitkan pengendali itu kepada Sigurdsson, yang mengakui jika permintaan menukar posisi itu dilakukan lebih awal dalam kariernya, pasti dia tidak dapat menerimanya.
“Saya tidak tahu jika dia hanya bergurau. Carlo pengendali yang amat berpengalaman dan berjaya, dan hubungan kami sangat baik.
“Jika ia berlaku lima atau enam tahun lalu, saya mungkin tidak terlalu gembira tetapi apabila anda semakin matang dan lebih banyak pengalaman, ia cabaran yang bagus untuk bermain di posisi baharu dan memikirkan tentang perkara berbeza.
“Banyak perkara yang saya perlu fikirkan dalam perlawanan yang tidak pernah terfikir sebelum ini, jika kami menyerang saya perlu tunggu di bawah dan memastikan kami bersedia untuk bertahan sekiranya kehilangan bola.
“Perkara paling saya sukai ialah menjaringkan gol dan berada dalam kotak penalti, menerima hantaran dan berada di posisi terbaik untuk menerimanya.
“Beberapa perlawanan diperlukan untuk saya menyesuaikan diri tetapi kini saya mula menikmati posisi itu,” kata Sigurdsson. – AGENSI