TINGKATKAN KESEDARAN PELAJAR MENGENAI KEWUJUDAN TRIBUNAL ANTIBULI – AZALINA

TINGKATKAN KESEDARAN PELAJAR MENGENAI KEWUJUDAN TRIBUNAL ANTIBULI – AZALINA

KUALA LUMPUR,. Kesedaran mengenai kewujudan Tribunal bagi Antibuli (TAB) sebagai saluran khusus untuk menangani kes buli membabitkan kanak-kanak dan remaja perlu dipertingkatkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata perkara itu penting bagi memastikan mangsa buli mengetahui terdapat saluran alternatif untuk membuat aduan sekiranya pihak sekolah tidak mengambil tindakan atau gagal memberikan respons sewajarnya terhadap laporan yang dibuat.

“Dalam apa-apa kes pun, sesiapa yang tak puas hati kalau sekolah tidak terima laporan dia, dia boleh pergi terus pada tribunal dan buli ini tidak semestinya berbentuk fizikal, ia juga boleh jadi buli secara emosi. Jadi, intervensi ini penting.

“…dan yang sangat penting ialah memberi kesedaran kepada anak-anak bahawa TAB itu wujud,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata pendekatan bagi menangani buli secara lebih berkesan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada hukuman, sebaliknya intervensi dan pemulihan perlu juga diberi perhatian.

“Isunya, sistem kita dah ada. Pada saya, saya tak begitu sokong pendekatan yang hanya menumpukan pada hukuman sebab nak hukum ini nak kena buat tangkapan, nak tangkap ini ada proses perlu dipatuhi, nak pergi mahkamah pun ada proses.

“Tribunal ini boleh memendekkan (proses) dan dalam tribunal yang kita wujudkan, dia tidak menghukum tetapi memberi rehabilitasi,” katanya.

TAB diwujudkan di bawah Akta Antibuli 2026 yang mula berkuat kuasa dan dilancarkan pada 16 Jun lepas.

Azlina berkata setakat ini tribunal itu telah menerima lebih 60 laporan kes berkaitan buli sejak ia dilancarkan.

“Itu yang kita terima laporan, yang tak dilapor? Jadi, jika anda (mangsa) berasa tidak selesa dan berasa diganggu atau dibuli, sama ada oleh rakan atau rakan sekelas, guru atau rakan sebaya, tidak kira lelaki atau perempuan, anda boleh membuat laporan kepada Tribunal,” tegasnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This