ECRL SEMAKIN HAMPIR BEROPERASI, AHLI LEMBAGA PENGARAH MRL NILAI KESIAPSIAGAAN SISTEM

ECRL SEMAKIN HAMPIR BEROPERASI, AHLI LEMBAGA PENGARAH MRL NILAI KESIAPSIAGAAN SISTEM

KUALA LUMPUR,. Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mencatat satu lagi perkembangan positif dalam persediaan menuju pengoperasian ECRL apabila dua Jawatankuasa Lembaga Pengarah MRL mengadakan mesyuarat masing-masing dalam Comprehensive Inspection Train (CIT) ECRL bagi menilai prestasi perjalanan tren.

Menurut MRL, Jawatankuasa Kewangan dan Teknikal serta Jawatankuasa Audit, Risiko dan Tadbir Urus Lembaga bermesyuarat sepanjang perjalanan dua hala dari Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak ke Stesen ECRL KotaSAS, Pahang, semalam bagi memberi peluang kepada pihak terlibat menilai sendiri prestasi perjalanan dan perkembangan semasa projek dalam keadaan operasi sebenar.

“Perjalanan dari Gombak ke KotaSAS mengambil masa kira-kira 85 minit, satu catatan yang menunjukkan perkembangan yang amat menggalakkan dalam fasa pengujian dan kesiapsiagaan ECRL manakala perjalanan pulang turut mengambil tempoh masa yang sama,” maklum syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata catatan perjalanan 85 minit dari Gombak ke KotaSAS merupakan satu perkembangan yang sangat positif.

“Pada masa yang sama, ahli Lembaga berpeluang melihat dan merasai sendiri prestasi ECRL sambil melaksanakan tanggungjawab mereka dari sudut kewangan, teknikal, audit, risiko dan tadbir urus,” katanya.

Beliau berkata hal ini penting kerana projek itu kini berada pada fasa kritikal peralihan daripada pembinaan kepada operasi.

“Fokus bukan semata-mata kepada kelajuan atau masa perjalanan, tetapi memastikan keseluruhan sistem selamat, boleh dipercayai dan benar-benar bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

MRL memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat pengujian, pentauliahan dan persediaan operasi bagi memastikan keseluruhan sistem ECRL memenuhi keperluan keselamatan, teknikal serta kawal selia sebelum perkhidmatan dibuka kepada orang ramai.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This