
Konvokesyen Management and Science University MSU Ke-36 penganugerahan kepada graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma
SHAH ALAM,. Seramai 1,879 graduan dari 120 program akademik dirai pada Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) Ke-36 di Dewan Canselor MSU di sini, baru-baru ini.
Majlis konvokesyen yang berlangsung selama dua hari itu telah diadakan dalam empat sesi, dengan menyaksikan penganugerahan kepada graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma. Daripada jumlah tersebut, seramai 63 graduan menerima PhD, 79 graduan Sarjana, 966 graduan Sarjana Muda dan 771 graduan Diploma.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Canselor MSU Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
Turut hadir ialah Presiden dan Pengasas MSU Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri Ab. Yajid, Pro-Canselor Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Naib Canselor Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid, Ahli Lembaga Universiti serta pengurusan kanan universiti.
Pada majlis sama, sebanyak 61 graduan menerima anugerah khas kecemerlangan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik dan kokurikulum mereka sepanjang pengajian.
Anugerah tersebut turut disumbangkan oleh Yayasan MSU dalam bentuk plak, wang tunai serta biasiswa bagi melanjutkan pengajian di MSU.
Antara penerima ialah Anugerah Pingat Emas Canselor Nur Desslinna Cheah Mohd Ridzuan Cheah (Bachelor of Education (Hons) TESL), Anugerah Presiden Abdul Ahad A.K.S Mohd Salleh (PhD Accounting/Finance), Choong Shuning (Bachelor in Economics and Finance (Hons) dan Adam Haris Hazatul Isman (Diploma in Computer Forensic). Anugerah Mohd Shukri Yajid Outstanding Award pula diberikan kepada Muhammad Azrai Mohd Shamsol Bahri (Bachelor in Creative Multimedia (Hons)).
Seramai 36 graduan menerima Anugerah Akademik, manakala 20 graduan lagi menerima Anugerah Industri.
Anugerah Industri tersebut melibatkan kerjasama pelbagai rakan industri termasuk MSU Medical Centre, MSU Pharma Sdn Bhd, Betelcare Sdn Bhd, Affin Bank Berhad, Institut Jantung Negara, NRG Capital Sdn Bhd, Hong Leong MSIG Takaful Berhad, BilaBila Retail Sdn Bhd, Mahsuri Food Sdn Bhd, Fire Fighter Industry Sdn Bhd, Novatiq Scientific Sdn Bhd, Interlight Technology Sdn Bhd, Megane Samurai Malaysia Sdn Bhd, Mas Awana Services Sdn Bhd, SNK Market Data Research Sdn Bhd, LEDtronics Sdn Bhd serta Indkom Engineering Sdn Bhd.
Kerjasama strategik MSU dengan lebih 3,000 rakan industri menerusi University Industry Advisory Panel (UIAP) telah memperkukuh penawaran program akademik dan TVET yang berkualiti serta relevan dengan keperluan semasa industri.
Usaha ini turut menyumbang kepada pengiktirafan MSU sebagai ASEAN’s Most Transformative & Impactful TVET University pada Malaysia Education & TVET Awards 2025.
Menurut Kajian Pengesanan Graduan 2024 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), MSU mencatat kadar kebolehpasaran graduan (GE) sebanyak 99.7 peratus, antara yang tertinggi di Malaysia.
Pencapaian itu turut disokong pengiktirafan Talentbank yang menobatkan MSU sebagai The Employers’ Choice of University 2026 serta penarafan enam bintang kebolehpasaran bagi bidang Pergigian, Pengurusan Hospitaliti, Undang-Undang dan Pelancongan.
Pencapaian ini membuktikan keberkesanan pendekatan pengajaran dan pembelajaran MSU dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia untuk alam pekerjaan, malah berupaya memenuhi keperluan dan cabaran masa hadapan.
