Suspek curi motosikal ditahan di wad selepas dikenal pasti sebagai kontak rapat PUS

Suspek curi motosikal ditahan di wad selepas dikenal pasti sebagai kontak rapat PUS

KUALA LUMPUR,. Seorang daripada dua lelaki tempatan yang diberkas ketika leka dengan kegiatan mencuri motosikal di kawasan parkir Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini semalam telah ditahan di wad selepas didapati mempunyai kontak rapat dengan seorang individu di bawah pengawasan (PUS) yang memakai gelang pink dan menjalani kuarantin di blok Program Perumahan Rakyat Kerinchi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd [email protected] berkata suspek yang berusia 19 tahun turut menjalani pemeriksaan suhu badan yang didapati mencecah 38.5 darjah Celsius.

“Suspek turut menjalani ujian saringan COVID-19 dan sedang menunggu keputusan lanjut. Sementara seorang lagi suspek (yang berusia 26 tahun) dibawa ke unit kecemasan dan sedang dirawat susulan berlaku pergelutan bersama mangsa,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan selepas kegiatan mereka disedari seorang pemilik kenderaan yang menuju ke kawasan parkir berkenaan.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian pada kira-kira 4.24 petang oleh mangsa yang juga bekerja sebagai polis bantuan di situ.

“Mangsa yang selesai menjalankan tugas telah menuju ke motor jenis Yamaha 125z miliknya sebelum melihat kelibat dua suspek berkenaan,” katanya.

Zairulnizam berkata susulan itu, mangsa telah meminta bantuan rakan setugasnya sekali gus membawa kepada penahanan kedua-dua suspek.

“Mangsa dalam masa sama telah menjalankan pemeriksaan dan menemukan beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri motosikal,” katanya.

Beliau berkata semakan lanjut polis turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah.

“Suspek belum dapat disoal siasat namun polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )