Penekanan kesalinghubungan digital penting bagi lonjak daya saing – MyIX

Penekanan kesalinghubungan digital penting bagi lonjak daya saing – MyIX

KUALA LUMPUR,. Langkah memberi penekanan utama terhadap kesalinghubungan digital dalam Belanjawan 2021 disifatkan sebagai penting bagi melonjakkan daya saing negara ketika teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terus mentransformasi proses pembentukan nilai serta inovasi tempatan.

Pengerusi Malaysia Internet Exchange (MyIX) Chiew Kok Hin berkata dalam ekonomi digital hari ini, teknologi juga telah terbukti mengubah perspektif lama dan sebaliknya memacu inovasi, keusahawanan serta model perniagaan baharu.

“Sehubungan itu, banyak industri yang bertindak memanfaatkan teknologi terkini untuk mengubah operasi dan proses pembentukan nilai — daripada pembangunan produk kepada pengeluaran, bekalan sehingga jualan dan perkhidmatan.

“Kesalinghubungan digital adalah ‘jambatan’ bagi melonjakkan daya saing negara. Oleh itu, tindakan kerajaan memperakui dan menghargai sepenuhnya realiti itu adalah sesuatu yang amat dialu-alukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz mengumumkan beberapa cadangan langkah bagi ekonomi digital termasuk RM7.4 bilion bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperluas perkhidmatan jalur lebar pada 2021 dan 2022.

Selain itu, kalangan syarikat telekomunikasi pula dijangka menyediakan data internet percuma bernilai RM1.5 bilion manakala kerajaan akan memperuntukkan RM500 juta bagi pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada 2021.

Inisiatif itu berperanan sebagai asas selain mempersiap negara ke arah peralihan kepada teknologi 5G.

Chiew menyifatkan teknologi 5G itu akan membuka banyak peluang dan kemungkinan, termasuk meningkatkan pembangunan automasi dalam industri seperti penjagaan kesihatan, pembuatan, perbankan dan pertanian.

Beliau turut mengingatkan perniagaan tempatan agar terus mengutamakan aspek meningkatkan kemahiran serta mewujudkan tenaga kerja yang berteraskan digital.

Bagi pembentukan peluang kerja, kerajaan menerusi Belanjawan 2021 telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM50 juta bagi program latihan semula untuk 8,000 pekerja syarikat penerbangan dan geran RM100 juta bagi badan bukan kerajaan yang terbabit dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan yang dapat dipadankan dengan geran RM100 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan.

“Masyarakat perlu segera bertindak meningkatkan kemahiran diri dengan pengetahuan teknologi digital, mahir digital serta kemahiran yang boleh dikongsi,” katanya.

Transformasi digital turut diutamakan Belanjawan 2021 yang menyaksikan sejumlah RM1 bilion disediakan khusus bagi skim transformasi terbabit selain geran RM150 juta bagi pendigitalan dan automasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan hampir RM1.2 bilion untuk skim mikrokredit.

Kerajaan turut mengumumkan sejumlah RM10 bilion untuk Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd dan RM2.5 bilion bagi kontraktor kelas G1 hingga G4 yang menjalankan projek kecil dan sederhana di seluruh negara manakala Majlis Amanah Rakyat menyediakan RM50 juta akses pembiayaan untuk kontraktor Bumiputera.

“Transformasi digital merupakan satu perjalanan yang berterusan untuk perniagaan bagi merealisasikan produktiviti lebih besar serta kecekapan operasi.

“Adalah penting untuk melonjakkan inovasi secara pantas sambil mengupayakan perniagaan untuk menjadi lebih tangkas, terutamanya dalam persekitaran norma baharu sekarang. MyIX akan memainkan peranan pentingnya untuk memupuk hubungan langsung dalam kalangan penyedia internet supaya pengguna mendapat manfaat daripada penambahbaikan aliran internet,” katanya.

MyIX yang juga inisiatif di bawah MCMC, diwujudkan bagi memastikan aliran trafik internet di peringkat tempatan menerusi promosi selain membolehkan hubungan antara penyedia perkhidmatan internet (ISP) tempatan, rangkaian pengedar kandungan (CDN) dan perusahaan lain industri.

Setakat ini, ia merupakan satu-satunya pertubuhan bukan berkeuntungan Malaysia membabitkan tukaran internet kebangsaan yang dikendalikan oleh industri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )