7 individu guna kad pengenalan palsu dalam pemilihan cawangan Bersatu

KLANG,. Jawatankuasa Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor membuat laporan polis selepas mendapati tujuh individu menggunakan kad pengenalan palsu dalam pengundian pemilihan Bersatu cawangan Pandamaran, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata laporan polis berkenaan dibuat oleh wakil jawatankuasa berkenaan.

Katanya, pengadu mendapati terdapat tujuh individu telah mengemukakan kad pengenalan yang menggunakan nombor dan nama yang palsu pada sesi pemilihan Bersatu cawangan Pandamaran petang tadi.

“Kes disiasat dibawah Sek. 419 KK (Menipu dengan jalan samaran),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, menurut sumber parti berkenaan, perbuatan mengundi menggunakan kad pengenalan palsu itu berjaya dikesan sewaktu pemberian kertas undi.

“Individu ini menggunakan kad pengenalan yang palsu, kad pengenalan tertera nama orang lain yang dilekatkan di atas kad pengenalan tersebut,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )