PDRM umum pertukaran 42 pegawai kanan

PDRM umum pertukaran 42 pegawai kanan

KUALA LUMPUR,. Timbalan Ketua Polis Johor DCP M. Kumar dilantik sebagai Ketua Polis Johor dengan memangku pangkat sebagai Komisioner Polis (CP) berkuat kuasa 23 Jan ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alzafny Ahmad berkata Ketua Penolong Pengarah (Tadbir Urus/Kepolisan Am), Bahagian Integriti Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman SAC Afandi Senin akan mengisi kekosongan jawatan berkenaan dengan memangku pangkat DCP.

“Ketua Polis Daerah Seremban ACP Arifai Tarawe pula akan mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Afandi dengan memangku pangkat SAC,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada pertukaran membabitkan 42 pegawai kanan PDRM di seluruh negara.

Turut bertukar jawatan ialah CP Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman dan Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur Datuk Anuar Othman pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan, Bukit Aman.

“Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abu Samah Mohd Noor pula akan mengisi jawatan Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur manakala Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Adzli Abu Shah akan mengisi kekosongan itu dengan memangku pangkat DCP,” katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah E4, Cawangan Khas, Bukit Aman Datuk Zahib Sabari akan menggalas jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah E4 Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )