Bubur lambuk Kampung Baru Pak Zainal mula terima tempahan

KUALA LUMPUR,. Setiap kali tibanya bulan Ramadan, bubur lambuk Kampung Baru Pak Zainal pasti menjadi tumpuan warga kota kerana keenakannya yang tersendiri.

Berbeza dengan tahun sebelumnya, untuk sambutan Ramadan kali ini kedai yang terletak berhampiran Masjid Jamek Kampung Baru itu akan beroperasi dari rumah sejajar dengan usaha kerajaan mengekang virus Covid-19.

Menurut pemiliknya, Zainal Abidin Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Pak Zainal, 65, dia memilih kaedah kedua yang diperkenalkan Kementerian Wilayah Persekutuan iaitu tempahan awal, bungkus dan ambil (Pack & Pick).

“Setakat ini kami telah pun menerima lebih 20 tempahan daripada syarikat-syarikat korporat, individu persendirian yang rata-ratanya adalah pelanggan tetap kami selama ini,” ujarnya.

Katanya lagi, sama seperti tahun sebelumnya dia turut bergabung dengan Bank Rakyat, Bangsar dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk menyediakan juadah tradisi tersebut.

“Jika sebelum ini, ada ketikanya kami akan ke lokasi mereka untuk menyediakan bubur cuma tahun ini pihak pelanggan akan datang mengambil bubur yang sudah dibungkus di rumah,” ujarnya.

Tambah Zainal Abidin pihaknya akan sentiasa mementingkan penjarakan sosial sepanjang tempoh penyediaan bubur lambuk berkenaan.

“Kami mungkin akan menghadkan jumlah pekerja dan juga kuantiti bubur bergantung pada keadaan semasa,” ujarnya kepada Wilayahku.

Ditanya tentang pilihan kaedah lain yang diperkenalkan oleh kementerian, menurut pengusaha bubur lambuk yang juga merangkap Ketua Tukang Masak Bubur Lambuk Masjid Jamek, Kampung Baru ini, dia masih menanti maklumat terperinci tentang kaedah tersebut.

“Ketiga-tiga konsep yang diperkenalkan menarik dan kita masih memikirkan dengan lebih lanjut dan Insya-Allah akan melakukan pendaftaran pada waktu yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Sebagai rekod, Pak Zainal merupakan generasi keempat yang menjual makanan tradisi tersebut sejak ia di perkenalkan di Kampung Baru pada era 50-an. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )