
SEMANGAT KESIAPSIAGAAN NADMA BANTU RAKYAT KETIKA NEGARA DILANDA BENCANA – AHMAD ZAHID
KUALA LUMPUR,. Tugas menguruskan bencana bukanlah sesuatu yang mudah namun semangat kesiapsiagaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terus menjadi pegangan dalam membantu menguatkan rakyat ketika negara dilanda musibah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setiap kali negara diuji, warga NADMA sentiasa tampil menggalas tanggungjawab untuk menyelaras bantuan, menggerakkan tindakan dan memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-11 agensi itu hari ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat menyifatkan NADMA sebagai antara tonggak utama dalam pengurusan dan kesiapsiagaan bencana negara.
“Selamat menyambut ulang tahun ke-11. Penghargaan saya ucapkan kepada seluruh warga NADMA atas komitmen dan kecekalan yang telah ditunjukkan selama ini. Alhamdulillah, 11 tahun ini telah membina satu asas yang kukuh buat NADMA,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam hantaran sama, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) NADMA yang berjaya mengekalkan pengiktirafan sebagai International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG) Heavy Urban Search and Rescue (USAR) Team selepas melalui proses INSARAG External Reclassification (IER) MAS01 2026.
“Pencapaian ini membuktikan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan kita terus berada pada standard antarabangsa.
“Saya berharap agar agensi ini akan terus diperkasa sebagai benteng kesiapsiagaan negara yang akan sentiasa selangkah di hadapan dalam menghadapi apa jua kemungkinan dan terus menjadi sandaran rakyat ketika musibah melanda,” katanya.
— BERNAMA
