
MITI laksana projek pembangunan dan pengindahan di Kampung Batu 3 dan Sekolah SK Rinching Hilir
SEMENYIH,. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah berjaya melaksanakan beberapa projek pembangunan dan pengindahan di Kampung Batu 3 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Rinching Hilir, Semenyih, Selangor di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI.
Bagi menandakan penyempurnaan inisiatif tersebut, MITI bersama penduduk setempat telah mengadakan majlis penyerahan projek naik taraf jalan Kampung Batu 3 serta kerja-kerja pengindahan di Masjid Kariah Kampung Batu 3.
Majlis ringkas yang berlangsung di masjid tersebut dan turut dihadiri oleh wakil-wakil Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), rakan strategik MITI, serta Penghulu Mukim Semenyih, Ketua Kampung Batu 3 Nazir Masjid dan penduduk setempat.
Pada hari yang sama, MITI turut menganjurkan majlis penyerahan berasingan di SK Rinching Hilir bagi menyerahkan kemudahan sekolah yang telah dinaik taraf.
Majlis tersebut dihadiri Guru Besar Mazni Mohamed @ Ibrahim, para guru, murid-murid serta wakil-wakil Pejabat Pendidikan Negeri dan Daerah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif berimpak tinggi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 bagi meningkatkan kemudahan asas dan menyokong pembangunan seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.
MITI telah memperuntukkan RM1 juta bagi program Kampung Batu 3, dengan RM600,000 khusus untuk kerja-kerja menaik taraf jalan kampung.
Projek naik taraf jalan yang disiapkan dua bulan lebih awal daripada jadual itu diterajui oleh KKDW dengan kerjasama MITI. MITI turut melaksanakan kerja-kerja pengindahan di Masjid Kariah Kampung Batu 3, termasuk menaik taraf ruang solat, membaiki kerosakan dan memperindah kawasan sekitarnya.
Selain itu, MITI turut menyokong kelestarian alam sekitar Sungai Semenyih yang merentasi kampung tersebut dengan menanam lebih 300 anak pokok buluh dan 2,000 anak rumput vetiver.
Bagi mengeratkan hubungan komuniti, MITI turut menganjurkan sambutan Hari Malaysia pada September di Kampung Batu 3 yang dimeriahkan dengan perarakan bersama penduduk dan warga MITI. Program gotong-royong juga telah diadakan pada bulan Mei.
Usaha pembangunan dan pengindahan ini dilaksanakan melalui pendekatan keseluruhan kerajaan membabitkan KKDW, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), syarikat swasta, NGO serta penduduk kampung.
Ketua Setiausaha MITI Dato’ Hairil Yahri Yaacob berkata program ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk pembangunan negara yang seimbang.
“Inisiatif ini membuktikan tekad Kerajaan MADANI dalam memacu pembangunan yang adil antara komuniti bandar dan luar bandar melalui kerjasama erat antara pelbagai kementerian dan agensi, selaras aspirasi Perdana Menteri yang menekankan nilai Ihsan dan Kesejahteraan sebagai teras Malaysia MADANI,” katanya.
Di bawah Program Sekolah Angkat MADANI MITI, sebanyak RM100,000 telah disalurkan kepada SK Rinching Hilir untuk menaik taraf kemudahan pembelajaran dan persekitaran sekolah.
Daripada jumlah tersebut, RM30,000 diperuntukkan untuk meningkatkan capaian Internet berkelajuan tinggi 5G di seluruh kawasan sekolah.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan minat murid terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pembelajaran interaktif, di samping mengukuhkan capaian Internet untuk tujuan pendidikan.
MITI turut menyokong beberapa kerja penambahbaikan infrastruktur, termasuk menggantikan kerusi kantin yang uzur, menyediakan dataran simen mesra OKU, menghasilkan mural identiti sekolah serta memasang papan pintar dan CCTV di semua bilik darjah.
Usaha ini bertujuan menyemarakkan semangat cintakan ilmu serta memastikan keselesaan dan keselamatan guru serta murid.
Penyempurnaan kedua-dua projek kampung dan sekolah ini bukan sahaja meningkatkan infrastruktur sedia ada, malah memberi nilai tambah dari segi sosial, ekonomi dan kelestarian alam untuk manfaat jangka panjang kepada penduduk Kampung Batu 3, warga SK Rinching Hilir dan komuniti sekitarnya.
