MAPIM SERU 7 OKTOBER JADI HARI PERINGATAN KEMANUSIAAN GAZA

MAPIM SERU 7 OKTOBER JADI HARI PERINGATAN KEMANUSIAAN GAZA

KUALA LUMPUR,. Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru agar 7 Okt 2026 dijadikan hari peringatan kemanusiaan dan solidariti, serta memperbaharui komitmen untuk membantu rakyat Palestin, sempena tiga tahun tragedi Gaza.

Dalam satu kenyataan pada Rabu (30 Sept), Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata tumpuan perlu diberikan kepada nasib rakyat Palestin, khususnya penduduk Gaza yang masih berdepan kemusnahan, pemindahan paksa, kekurangan keperluan asas, serta risiko keselamatan.

Beliau berkata walaupun terdapat perubahan keadaan selepas pengumuman gencatan senjata pada Oktober 2025, keadaan kemanusiaan di Gaza masih membimbangkan dengan penduduk berdepan kerosakan infrastruktur, kekurangan bekalan perubatan, air dan sanitasi serta sekatan kemasukan barangan kemanusiaan.

Berdasarkan laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) pada 25 Sept, 94 peratus penduduk Gaza masih memerlukan bantuan tempat perlindungan dan keperluan asas, manakala kira-kira 65 peratus isi rumah tinggal di khemah atau tempat perlindungan sementara.

Sebanyak 451 lokasi perpindahan yang menempatkan kira-kira 464,402 orang turut dikenal pasti berisiko tinggi dilanda banjir menjelang musim hujan.

Menurut MAPIM, keadaan itu turut memberi kesan besar kepada kanak-kanak, dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan pada pertengahan tahun ini bahawa kira-kira 1.9 juta daripada 2.1 juta penduduk Gaza telah mengalami pemindahan paksa, selain gangguan berterusan terhadap perkhidmatan kesihatan, air, sanitasi dan perlindungan.

“Maka, 7 Oktober 2026 tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar satu tarikh untuk mengimbas tragedi.

“Ia perlu menjadi hari kesedaran, hari solidariti dan hari memperbaharui komitmen kemanusiaan terhadap Gaza dan Palestin,” menurut kenyataan itu.

Bersempena peringatan itu, MAPIM mengetengahkan kempen “Tiga Tahun Gaza: Jangan Biarkan Dunia Melupakan” berteraskan lima mesej utama iaitu mengingati mangsa, kemusnahan dan mereka yang terselamat, selain menekankan tanggungjawab masyarakat antarabangsa serta menterjemahkan solidariti kepada tindakan.

MAPIM turut mencadangkan beberapa program dari 1 hingga 7 Okt, termasuk pelancaran kempen Remember Gaza, Gaza Memory Day, forum mengenai krisis Gaza, kempen bantuan kemanusiaan musim sejuk, Mosque for Gaza dan Global Solidarity Night.

Kemuncak program pada 7 Okt ini dicadangkan menerusi National Gaza Memorial Day yang merangkumi doa untuk mangsa, bacaan nama dan kisah mangsa, kesaksian rakyat Palestin, kutipan dana, seruan kepada kerajaan serta masyarakat antarabangsa dan deklarasi solidariti Malaysia untuk Palestin.

MAPIM menyatakan bantuan kemanusiaan, keperluan musim sejuk, pendidikan, pemulihan kesihatan, pembinaan semula serta advokasi antarabangsa perlu diteruskan bagi membantu penduduk Gaza.

“Tiga tahun telah berlalu, tetapi Gaza tidak boleh menjadi sejarah yang dilupakan.

“Kita mengingati mangsa, berdiri bersama yang terselamat, membantu mereka yang memerlukan dan terus menuntut dunia mempertahankan kemanusiaan,” menurut MAPIM.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This