
Perpustakaan Desa sebagai ruang komuniti membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia
PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara, melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sedang mempergiat usaha untuk memperkukuh peranan Perpustakaan Desa sebagai ruang komuniti yang inklusif, dinamik dan berteraskan ilmu.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia, di samping memperkukuh perpaduan negara melalui perkongsian ilmu.
Perpustakaan Desa diwujudkan bagi memenuhi keperluan komuniti setempat sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat, ruang interaksi sosial serta pembangunan intelektual. Sehingga kini, sebanyak 506 Perpustakaan Desa beroperasi di seluruh negara, memainkan peranan penting dalam mendekatkan sumber ilmu dan aktiviti berasaskan komuniti kepada masyarakat.
Sepanjang tahun 2025 sahaja, sebanyak 50,615 program galakan membaca telah berjaya dianjurkan, dengan penyertaan melebihi 1.4 juta orang. Pencapaian ini membuktikan bahawa Perpustakaan Desa terus relevan sebagai pemangkin dalam membentuk masyarakat berilmu dan berdaya saing.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, menegaskan bahawa amalan membaca perlu dipupuk bermula daripada institusi keluarga dan diperkukuh di peringkat komuniti.
Beliau berkata Perpustakaan Desa berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan kedua-dua elemen tersebut, sekali gus menyemai minat membaca sejak usia muda serta menggalakkan penglibatan aktif masyarakat.
Kementerian akan terus komited dalam memperkasakan Perpustakaan Desa sebagai hab komuniti yang menyatukan rakyat, memperluas akses kepada ilmu, serta menyokong matlamat negara untuk menjadi sebuah negara membaca menjelang tahun 2030.
