
Inflasi Malaysia meningkat 1.7 peratus pada Mac 2026
KUALA LUMPUR,. Inflasi Malaysia meningkat 1.7 peratus pada Mac 2026, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan 136.4 berbanding 134.1 pada tempoh sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan inflasi itu didorong terutamanya oleh kumpulan pengangkutan yang meningkat kepada 1.6 peratus berbanding -0.7 peratus pada Februari 2026.
Selain itu, kenaikan turut dicatatkan dalam kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan lain, yang meningkat kepada tujuh peratus berbanding 6.9 peratus pada bulan Februari 2026.
Inflasi kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan meningkat kepada 4.9 peratus pada Mac 2026 berbanding 4.7 peratus pada Februari 2026, diikuti minuman alkohol dan tembakau (2.7 peratus; Februari: 2.6 peratus), restoran dan perkhidmatan penginapan (2.6 peratus; 2.5 peratus), kesihatan (1.4 peratus; 1.2 peratus), maklumat dan komunikasi (1.4 peratus; 0.5 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.2 peratus; 1.1 peratus), serta rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.0 peratus; 0.8 peratus), menurut DOSM.
Secara keseluruhan, sebanyak 62.5 peratus item atau 358 daripada 573 item merekodkan kenaikan harga. Daripada jumlah itu, 348 item atau 97.2 peratus mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala hanya 10 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Mac 2026. Baki sebanyak 171 item (29.8%) menunjukkan penurunan dan 44 item kekal tidak berubah.
Kumpulan makanan dan minuman, yang merangkumi 29.8 peratus daripada wajaran IHP, mencatat inflasi 1.1 peratus pada Mac 2026 berbanding 1.3 peratus pada Februari 2026, dipacu oleh subkumpulan makanan di luar rumah (2.3 peratus; Februari: 2.4 peratus) dan makanan di rumah (0.1 peratus; 0.3 peratus).
Sementara itu, inflasi bagi kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat kepada 1.2 peratus daripada 1.1 peratus pada bulan sebelumnya, didorong oleh subkumpulan penyelenggaraan, pembaikan dan keselamatan kediaman (3.3 peratus; Februari: 3.2 peratus).
DOSM memaklumkan purata harga petrol tanpa plumbum RON97 meningkat kepada RM4.03 seliter pada Mac 2026 berbanding RM3.11 seliter pada Februari, manakala diesel di Semenanjung meningkat kepada RM4.12 seliter daripada RM2.98 seliter. Namun, harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Purata harga petrol RON95 pula meningkat kepada RM3.16 seliter berbanding RM2.55 seliter pada Februari, berbanding harga subsidi RM1.99 seliter.
Mohd Uzir berkata lapan negeri mencatat inflasi melebihi paras nasional 1.7 peratus, iaitu Pahang (2.5 peratus), Labuan (2.4 peratus), Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur (2.2 peratus), Sabah (2.1 peratus), Johor (2.0 peratus), Kedah (1.9 peratus) dan Pulau Pinang (1.8 peratus). Baki lapan negeri mencatat inflasi pada atau di bawah paras nasional, dengan Kelantan merekodkan kadar terendah iaitu 0.7 peratus pada Mac 2026.
Secara bulan ke bulan, inflasi keseluruhan meningkat 0.3 peratus berbanding 0.2 peratus pada Februari, didorong oleh kumpulan pengangkutan (2.1 peratus), maklumat dan komunikasi (0.8 peratus), insurans dan perkhidmatan kewangan (0.3 peratus), kesihatan (0.2 peratus), rekreasi, sukan dan kebudayaan (0.2 peratus) serta pendidikan (0.2 peratus).
Dari segi perbandingan serantau, inflasi Malaysia sebanyak 1.7 peratus adalah lebih rendah berbanding Vietnam (4.7 peratus), Filipina (4.1 peratus), Indonesia (3.5 peratus) dan Korea Selatr (2.2 peratus).
–BERNAMA
