ISU PERBELANJAAN KKDW RM2.1 BILION SUDAH SELESAI – TKSP

ISU PERBELANJAAN KKDW RM2.1 BILION SUDAH SELESAI – TKSP

PUTRAJAYA,. Isu berhubung dakwaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berbelanja melebihi peruntukan sebanyak RM2.1 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025 telah selesai, kata Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Zamzuri Abdul Aziz.

“Dah selesai,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) dan Perasmian Persidangan Perdana PPIBZW 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu berkenaan susulan permintaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Razlan Rafii supaya Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Isu itu timbul susulan dakwaan bahawa KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan RM1.1 bilion, RM2 bilion pada 2024 berbanding RM1.3 bilion dan RM2.3 bilion pada 2025 berbanding RM1.6 bilion, dengan jumlah perbezaan RM2.1 bilion.

Pada 2 Sept lepas, Johan menjelaskan bahawa KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar.

Beliau berkata bagi menangani perkara itu, Kementerian Kewangan (MoF) bekerjasama dengan KKDW, antaranya mengatur semula peruntukan kementerian berkenaan berdasarkan keutamaan.

MoF juga meluluskan peruntukan tambahan RM300 juta bagi 2026 untuk membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This