Pendaftaran pelajar baharu politeknik Sesi 1 2026/2027 melepasi jangkaan

Pendaftaran pelajar baharu politeknik Sesi 1 2026/2027 melepasi jangkaan

PUTRAJAYA,. Pendaftaran pelajar baharu Politeknik bagi Sesi 1 2026/2027 telah melepasi jangkaan dengan lebih 30,000 pelajar mendaftar di seluruh negara, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan masyarakat terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir, berkata, seramai 30,488 pelajar baharu berjaya mendaftar di politeknik seluruh negara setakat jam 5 petang semalam, iaitu ketika proses pendaftaran rasmi ditutup.

Menurut beliau, angka tersebut mewakili pencapaian melebihi 125 peratus daripada sasaran pengambilan yang ditetapkan, sekali gus menunjukkan sambutan yang amat positif daripada pelajar dan ibu bapa.

“Respon yang menggalakkan ini menunjukkan bahawa keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan teknikal dan TVET terus meningkat,” katanya dalam sidang media mengenai kemasukan pelajar politeknik.

Beliau berkata, minat terhadap program politeknik kini tidak lagi terhad kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, malah semakin ramai ibu bapa daripada golongan berpendapatan sederhana dan tinggi memilih laluan pendidikan teknikal untuk anak-anak mereka. Pelajar kini mengikuti program yang ditawarkan di peringkat diploma dan juga ijazah.

Zambry turut memaklumkan bahawa program ijazah di politeknik semakin mendapat sambutan, sekali gus mendorong kerajaan untuk memperluaskan penawaran kursus di peringkat tersebut. Baru-baru ini, lima politeknik telah dinaik taraf untuk menawarkan program ijazah sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pendidikan tinggi teknikal negara.

Dalam pada itu, proses pendaftaran juga sedang berlangsung di 102 kolej komuniti di seluruh negara, dengan pendaftaran pelajar baharu dijalankan dari 22 hingga 25 Jun.

Menteri itu mengakui jumlah pendaftaran yang jauh lebih tinggi daripada jangkaan telah menimbulkan cabaran berkaitan penyediaan penginapan bagi sebahagian pelajar. Beliau berkata, arahan telah diberikan supaya langkah segera diambil bagi memastikan pelajar yang terjejas mendapat kemudahan tempat tinggal yang sesuai.

“Saya telah memaklumkan kepada Ketua Pengarah supaya tindakan segera diambil bagi membantu pelajar-pelajar ini dan memastikan mereka mendapat penginapan yang selesa. Langkah-langkah yang diperlukan akan dipercepatkan supaya isu tersebut dapat diselesaikan sebaik mungkin,” katanya.

Zambry turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas keyakinan yang diberikan terhadap sistem pendidikan teknikal negara serta galakan yang diberikan kepada anak-anak mereka untuk melanjutkan pengajian di politeknik seluruh negara. Beliau menyifatkan angka pendaftaran yang memberangsangkan itu sebagai satu perubahan besar dalam persepsi masyarakat serta bukti peningkatan keyakinan terhadap sistem pendidikan tinggi negara.

CATEGORIES
Share This