
MBSB Bank, NCER Memeterai Memorandum ekonomi Persefahaman Koridor Utara
PETALING JAYA,. MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi di Koridor Utara menerusi komitmen pembiayaan berjumlah RM1 bilion serta penyediaan penyelesaian kewangan Islam yang komprehensif.
MoU tersebut yang ditandatangani di Menara MBSB di sini baru-baru ini, memformalkan kerjasama yang bertujuan memperluaskan akses kepada pembiayaan serta penyelesaian perbankan bernilai tambah bagi perniagaan, pelabur dan projek pembangunan strategik di Wilayah Ekonomi Koridor Utara.
Merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, NCER kini muncul sebagai antara wilayah ekonomi yang berkembang paling pesat di Malaysia dengan menarik pelaburan domestik dan asing yang signifikan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan termaju, logistik, agroperniagaan, ekonomi digital serta pelbagai industri bernilai tinggi yang lain.
Disokong oleh infrastruktur moden, taman perindustrian dan pelbagai inisiatif kerajaan, wilayah itu menawarkan peluang besar kepada perniagaan di sepanjang rantaian nilai ekonomi.
Seiring dengan perkembangan pesat wilayah berkenaan, MBSB Bank berkata pihaknya terus memperkukuh peranannya sebagai rakan kewangan strategik dengan menyediakan penyelesaian pembiayaan yang membolehkan perniagaan berkembang, berinovasi dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.
Kerjasama itu turut melengkapi usaha Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang terus menerajui pembangunan taman perindustrian tematik utama NCER, termasuk Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di Perlis, Kedah Rubber City (KRC) dan Taman Sains & Teknologi Kedah (KSTP) di Kedah.
Ekosistem perindustrian khusus ini dibangunkan bagi menarik industri bernilai tinggi, memperkukuh rantaian bekalan serantau, merangsang pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, di samping menyediakan saluran projek yang berpotensi mendapat manfaat daripada kerjasama pembiayaan strategik.
Menerusi MoU tersebut, MBSB Bank akan berusaha menjadi antara rakan kewangan strategik NCER dengan menawarkan rangkaian penyelesaian perbankan Islam yang menyeluruh, merangkumi pembiayaan projek dan perniagaan, akaun operasi dan eskrow, pengurusan tunai, pembiayaan perdagangan, penyelesaian pembayaran gaji, perkhidmatan perbendaharaan, perbankan digital serta pelbagai kemudahan perbankan komersial yang lain.
Kerjasama itu juga menyediakan platform yang lebih tersusun kepada kedua-dua organisasi untuk mengenal pasti dan meneroka peluang strategik, memperkukuh hubungan dengan pihak berkepentingan serta meningkatkan tadbir urus selaras dengan agenda Kerajaan untuk mempercepatkan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi mampan di Koridor Utara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad Rafe Haneef, berkata Koridor Utara terus menjadi destinasi utama bagi pelaburan bernilai tinggi serta menawarkan peluang besar kepada perniagaan dalam sektor rel, automotif, elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa serta pembuatan untuk terus berkembang.
“Koridor Utara terus menjadi destinasi utama bagi pelaburan bernilai tinggi serta menawarkan peluang besar kepada perniagaan dalam sektor rel, automotif, elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa serta pembuatan untuk terus berkembang. Menerusi komitmen pembiayaan RM1 bilion ini dan kerjasama kami dengan NCER, kami komited menyediakan penyelesaian pembiayaan dan perbankan yang membolehkan perniagaan berkembang dengan lebih yakin serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi rantau ini dalam jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA Dato’ Mohamad Haris Kader Sultan, berkata kerjasama strategik tersebut akan memperkukuh ekosistem yang menyokong sektor pertumbuhan utama NCER, termasuk elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan termaju, agromakanan, logistik, ekonomi digital dan teknologi hijau.
Beliau berkata, kerjasama itu turut membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan tempatan serta rakan rantaian bekalan untuk memperoleh akses kepada pembiayaan bagi meningkatkan kapasiti, mengguna pakai teknologi, meningkatkan produktiviti serta mengintegrasikan perniagaan mereka ke dalam rantaian nilai syarikat multinasional yang beroperasi di NCER.
Kerjasama itu mencerminkan komitmen MBSB Bank dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi serantau Malaysia melalui penyediaan akses pembiayaan yang lebih meluas, memperkukuh daya tahan perniagaan serta memudah cara pelaburan mampan di Koridor Utara.
Dengan menggabungkan keupayaan perbankan MBSB Bank dan kerjasama strategik yang kukuh, inisiatif tersebut dijangka mewujudkan nilai jangka panjang kepada perniagaan, komuniti dan ekonomi negara.
