BUAH DAN SISA NANAS JADI “EMAS”, LPNM LANCAR PINASWEET, LIQOFAS DI MAHA 2026

BUAH DAN SISA NANAS JADI “EMAS”, LPNM LANCAR PINASWEET, LIQOFAS DI MAHA 2026

SERDANG,. Hasil kajian dan penyelidikan membolehkan nanas dijadikan produk pemanis semula jadi berindeks glisemik rendah manakala sisa buah diolah menjadi baja organik berprestasi tinggi yang merintis era baharu ekonomi kitaran dalam sektor agromakanan negara.

Inovasi membanggakan itu dizahirkan menerusi pelancaran pemanis semula jadi Pinasweet (Gula Nanas) dan baja organik cecair LiqoFas oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Laman Agro Food Nanas sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Pelancaran produk tersebut disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak.

Beliau berkata pembangunan dua produk itu membuktikan peranan penting penyelidikan dan teknologi dalam mencipta nilai baharu daripada hasil sampingan pertanian.

“Pinasweet dibangunkan menerusi kerjasama LPNM dan Institut Pembangunan Bioproduk, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kajian menunjukkan nanas mempunyai indeks glisemik (GI) rendah antara 26 hingga 28 serta kaya dengan antioksidan.

“Malah, kulit dan hampas nanas turut dimanfaatkan untuk menghasilkan Pinaflour, iaitu tepung bebas gluten bagi kegunaan industri bakeri,” katanya kepada Bernama.

Hadir sama pada pelancaran itu ialah Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M. Salleh, Naib Canselor UTM Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim, penyelidik produk Pinasweet Profesor Madya Dr Harisun Yaakob dan penyelidik produk LiqoFas Dr Hartinee Abbas yang juga pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mengenai LiqoFas, Isham berkata baja foliar untuk pertumbuhan tanaman itu dibangunkan hasil kerjasama LPNM dengan UUM menerusi geran penyelidikan daripada LPNM.

Pembuatan baja itu melibatkan pemprosesan nanas yang rosak, gred rendah, serta daun dan pokok nanas melalui teknologi fermentasi mikrob berkesan serta dapat mempercepat pertumbuhan vegetatif pokok nanas dan memendekkan tempoh penghasilan buah.

Isham berkata dua produk tersebut antara hasil Program Pembangunan Produk Nanas Berinovasi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dibiayai menerusi peruntukan pembangunan keseluruhan sebanyak RM4 juta merangkumi pelbagai skop dan aktiviti, iaitu kajian, insentif usahawan berinovasi, pemindahan teknologi dan promosi.

“Inisiatif ini mencerminkan pendekatan ekonomi kitaran yang mengoptimumkan sisa pertanian bagi menghasilkan produk bernilai tambah, sekali gus mengurangkan pembaziran dan menyokong pengeluaran yang mampan,” katanya.

Melihat keberkesanan inovasi itu, Isham menggesa hasil penyelidikan tidak berhenti di makmal sebaliknya diteruskan ke peringkat pengkomersialan dan penembusan pasaran agar memberi impak ekonomi secara langsung kepada usahawan tempatan.

“Kita perlu menjadikan inovasi sebagai budaya dalam sektor agromakanan iaitu daripada sisa kepada nilai, daripada penyelidikan kepada produk dan daripada produk kepada peluang ekonomi,” katanya.

Justeru, beliau berkata langkah strategik LPNM dilihat selari dengan tema MAHA 2026, iaitu “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” dalam usaha memacu industri nanas tempatan agar lebih mampan dan berdaya saing pada peringkat global.

MAHA 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS menghimpunkan kira-kira 2,000 pempamer dan menyasarkan kehadiran lebih empat juta pengunjung.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This