
PENGUASAAN PELBAGAI BAHASA BANTU AKSES KEPADA KEADILAN – PENGAMAL UNDANG-UNDANG
KUALA LUMPUR,. Di dalam dewan mahkamah, satu perkataan yang tidak difahami boleh membawa makna besar, apatah lagi apabila berkait dengan hak dan kebebasan seseorang.
Bagi pengamal undang-undang yang berhadapan dengan anak guam, saksi dan tertuduh daripada pelbagai latar belakang, keupayaan berkomunikasi lebih daripada satu bahasa bukan sekadar kebolehan profesional, sebaliknya membantu memastikan setiap individu benar-benar memahami proses perundangan yang sedang mereka lalui.
Dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan bahasa, keupayaan itu turut menjadi sebahagian daripada usaha memastikan prinsip keadilan dapat dinikmati secara saksama, tanpa seseorang berasa terpinggir hanya kerana keterbatasan bahasa.
Peguam Jason Wee berkata penguasaan bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin serta beberapa dialek Cina banyak membantunya ketika mendapatkan maklumat daripada anak guam, khususnya mereka yang lebih selesa berkomunikasi dalam bahasa selain bahasa Melayu atau Inggeris.
“Apabila seseorang dapat menjelaskan masalah mereka dalam bahasa yang paling mereka kuasai, maklumat yang diperoleh juga lebih lengkap dan tepat, sekali gus membantu penyediaan strategi kes yang lebih berkesan,” katanya yang mengendalikan pelbagai kes termasuk sivil, komersial, jenayah dan korporat.
Wee yang lebih mesra disapa “Abe Jay” berkata komunikasi dalam bahasa yang mudah difahami juga penting untuk membina kepercayaan, terutamanya apabila seseorang berdepan dengan proses perundangan yang mungkin dianggap rumit atau menakutkan.
“Saya sentiasa memastikan setiap anak guam diberi ruang untuk menjelaskan keadaan mereka tanpa prejudis. Saya juga akan menggunakan bahasa yang paling mudah difahami oleh mereka dan mengelakkan penggunaan istilah perundangan yang terlalu teknikal tanpa penjelasan.
“Jika perlu, saya akan menerangkan sesuatu perkara menggunakan contoh yang lebih mudah supaya mereka benar-benar memahami kedudukan undang-undang mereka,” katanya.
Beliau berkata kepelbagaian bahasa dan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia seharusnya tidak menjadi penghalang kepada seseorang untuk mendapat keadilan.
Pendekatan sama turut diamalkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) B. Deevagaran Naidu yang menguasai bahasa Inggeris, Tamil, Mandarin serta beberapa loghat tempatan dalam bahasa Melayu ketika berurusan dengan individu yang terlibat dalam prosiding pendakwaan.
Deevagaran berkata penguasaan bahasa Mandarin khususnya, banyak membantu beliau ketika membuat persediaan kes apabila saksi atau mangsa berbangsa Cina kurang fasih berbahasa Melayu.
“Saya dapat menerangkan proses perbicaraan serta menjalankan temu bual dengan mereka dengan lebih lancar dalam bahasa Mandarin. Saya juga dapat membina hubungan dan kepercayaan dengan saksi, sekali gus membantu mereka memberikan keterangan di mahkamah dengan lebih yakin, jelas dan teratur,” katanya.
Beliau yang telah berkhidmat selama dua tahun di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang berkata dalam menjalankan tugas pendakwaan, beliau tetap berpegang pada merit setiap kes dan prinsip undang-undang tanpa membezakan warna kulit, agama atau latar belakang sosioekonomi seseorang.
“Malah, saya juga memastikan layanan yang diberikan oleh pihak mahkamah, polis dan penjara adalah adil serta tidak pilih kasih terhadap mana-mana tertuduh,” katanya sambil menambah kehadiran jurubahasa juga sangat membantu dalam memastikan setiap perjalanan prosiding mahkamah difahami dengan tepat oleh individidu yang terlibat.
Sementara itu, peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid berkata penggunaan bahasa yang mudah dan khidmat jurubahasa amat penting bagi memastikan anak guam memahami perkara yang berlaku di mahkamah selain dapat memberikan arahan yang tepat kepada peguam.
Berkongsi pengalamannya ketika berkhidmat sebagai majistret di Mahkamah Sungai Siput, Perak, beliau berkata bahasa yang mudah dan jelas amat penting ketika menyampaikan keputusan mahkamah bagi memastikan tertuduh benar-benar memahami keputusan serta hukuman yang dijatuhkan.
“Lazimnya, saya akan bertutur dalam bahasa Melayu yang mudah ketika menyampaikan keputusan, selain memohon khidmat jurubahasa hadir ke mahkamah, sama ada jurubahasa Melayu, Tamil atau Cina bagi membantu menjelaskan keputusan dan hukuman kepada tertuduh atau pihak-pihak yang hadir supaya mereka dapat memahami keputusan tersebut,” katanya.
— BERNAMA
