JBPM PERKUKUH KESIAPSIAGAAN HADAPI MONSUN TIMUR LAUT

JBPM PERKUKUH KESIAPSIAGAAN HADAPI MONSUN TIMUR LAUT

PUTRAJAYA,. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkukuh kesiapsiagaan operasi bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula hari ini hingga Mac tahun depan, melibatkan 25,592 pegawai dan anggota serta 1,248 aset pelbagai jenis.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata persediaan itu merangkumi penyediaan keanggotaan, kesiapsiagaan aset dan logistik serta penempatan sumber secara strategik bagi menghadapi kemungkinan bencana sepanjang tempoh MTL.

“Keutamaan kami adalah keselamatan rakyat. JBPM telah merangka strategi tindak balas yang menyeluruh merangkumi aspek pencegahan dan mitigasi, perancangan dan kesiapsiagaan, tindak balas kecemasan serta pemulihan pascabencana.

“Dalam merancang kesiapsiagaan operasi, JBPM turut mengambil kira 3,682 hotspot banjir yang dikenal pasti di seluruh negara berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Maklumat ini menjadi panduan dalam menentukan keutamaan penempatan anggota dan aset mengikut tahap risiko serta keperluan di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam fasa awal MTL dari November hingga Januari, sebanyak tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku yang berpotensi meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

Nor Hisham berkata keadaan itu berpotensi menyebabkan laut bergelora dan kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan akibat tiupan angin timur laut yang berterusan.

“Bagi mempercepatkan tindakan di kawasan berisiko, sebanyak 29 Pasukan Gerak Cepat (PGC) digerakkan, manakala pangkalan operasi hadapan di Pulau Pinang, Terengganu dan Johor dioperasikan bagi memudahkan mobilisasi anggota serta aset ke lokasi yang memerlukan bantuan,” katanya.

Dari aspek keanggotaan pula, Nor Hisham berkata perancangan kesiapsiagaan JBPM merangkumi antaranya 13,631 Pegawai Sepenuh Masa (PSM), 2,227 Pegawai Bomba Bantuan (PBB), 8,956 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan 62 petugas kejuruteraan.

“Pembekuan cuti antara 80 hingga 100 peratus turut dilaksanakan mengikut keperluan operasi, khususnya di negeri yang berisiko terjejas, bagi memastikan kekuatan anggota mencukupi,” katanya.

Beliau berkata pasukan respons pantas turut diperkukuh melalui penglibatan Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi melaksanakan bantuan perubatan kecemasan serta operasi menyelamat mangsa banjir.

“Bagi menyokong operasi menyelamat, JBPM turut menyediakan 571 kenderaan angkut ringan, 144 kenderaan angkut berat dan 529 aset marin selain empat helikopter serta tiga unit dron.

“Sebanyak 150 bot komuniti turut dibekalkan bagi membantu penduduk setempat melaksanakan tindakan awal ketika kecemasan dengan mengambil kira aspek keselamatan,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengikuti maklumat serta amaran rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca dan saluran media sosial rasmi.

“JBPM akan terus memperkukuh kesiapsiagaan dan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan operasi menyelamat serta bantuan kecemasan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan demi melindungi nyawa, keselamatan orang awam dan harta benda sepanjang MTL 2026/2027,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This