TCAB TECH, SIDEC TEROKA PENGKOMERSILAN TEKSI TERBANG E20

TCAB TECH, SIDEC TEROKA PENGKOMERSILAN TEKSI TERBANG E20

PUTRAJAYA,. Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan TCab Tech dari China telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka peluang pengkomersilan bagi teksi terbang elektrik lima tempat duduk syarikat China itu di Malaysia.

Kedua-duanya melalui satu kenyataan bersama hari ini berkata kerjasama itu juga akan menyokong pembangunan ekonomi altitud rendah (LAE) negara, dengan TCab Tech merancang untuk menubuhkan pusat perniagaan serantau di Selangor bagi menyokong pembangunan komersil, perkongsian tempatan dan pengembangan di seluruh Asia Tenggara.

Di bawah MoU itu, TCab Tech akan menyumbang kepakarannya dalam penyelidikan, pembangunan dan pembuatan pesawat berlepas serta mendarat menegak (eVTOL).

Sidec akan memudahkan penglibatan syarikat dengan agensi kerajaan yang berkaitan, pemain industri dan rakan kongsi berpotensi di Selangor.

Perjanjian itu dibuat antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sidec, Yong Kai Ping serta Pengasas dan CEO TCab, Tech Ng Yon Wui pada pembukaan “Jurutera Malaysia, Kesan Global: Pameran TCab Tech E20 eVTOL” di IOI City Mall hari ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han serta Pengurus Besar IOI City, Mall Wilfred Wong menyaksikan pertukaran perjanjian berkenaan.

Ng berkata keupayaan pembuatan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih aeroangkasa Malaysia, bakat kejuruteraan, sektor pelancongan dan permintaan untuk ketersambungan serantau menjadikan negara sebagai pasaran berpotensi untuk aplikasi eVTOL.

“LAE tidak melihat semata-mata kepada teknologi pesawat. Ia memerlukan pensijilan, peraturan, infrastruktur, keupayaan industri dan kes penggunaan sebenar untuk disatukan,” katanya.

TCab Tech akan meneroka aplikasi berpotensi untuk pesawat E20nya dalam pelancongan, perjalanan antara bandar termasuk sambungan antara hab pengangkutan serta destinasi pelancongan, perjalanan singkat antara bandar berdekatan dan pilihan mobiliti dalam pusat bandar.

Syarikat itu juga telah melantik Ng sebagai penasihat industri kepada Sidec, yang mana beliau akan berkongsi perspektif industri mengenai pembangunan sektor teknologi tinggi di Selangor, termasuk aeroangkasa, mobiliti udara termaju dan teknologi autonomi.

Sementara itu, Yong berkata kerjasama itu akan membantu menghubungkan TCab Tech dengan rakan kongsi dan pihak berkepentingan yang berkaitan sambil meneroka peluang di Malaysia.

E20, yang boleh membawa lima penumpang, kini sedang menjalani pensijilan jenis dengan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC). TCab Tech telah menyelesaikan peringkat utama proses seperti asas pensijilan (G-1), kedah pematuhan (G-2) dan pelan pensijilan.

Untuk menyediakan syarikat menembusi pasaran luar negara termasuk Malaysia, ia telah menjalinkan MOU kerjasama keselamatan penerbangan awam yang dimeterai antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan CAAC pada September 2026.

CAAM juga sedang memuktamadkan Rangka Kerja Ekonomi Altitud Rendah Malaysia yang dicadangkan, yang merangkumi pelan hala tuju pelaksanaan berperingkat.

E20 dipamerkan kepada umum di Symphony East 3, IOI City Mall, mulai 10 pagi hingga 10 malam setiap hari sehingga 9 Nov, kemasukan percuma.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This