
NICE 2026 PLATFORM STRATEGIK BINA KEYAKINAN PELABUR, KETENGAH R&D TEMPATAN
KUALA LUMPUR,. Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan (NICE) 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Ogos ini akan menjadi platform strategik dalam membina keyakinan pelabur, pemain industri dan masyarakat terhadap keupayaan teknologi tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) Ashran Ghazi berkata NICE anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu turut mengetengahkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan.
“Ramai orang tidak sedar dekat Malaysia banyak hasil R&D yang sebenarnya sangat hebat. Jadi NICE menjadi satu daripada platform untuk kita ketengahkan bukan setakat kepada pelabur, bahkan kepada orang ramai untuk melihat potensi dan keyakinan teknologi tempatan di Malaysia,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini, hari ini.
Ashran berkata usaha menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar teknologi memerlukan sokongan padu semua pihak merentasi sektor penyelidikan, keusahawanan, pelaburan dan kerangka kawal selia.
“Kita perlu memastikan kesinambungan inovasi dan teknologi yang dibangunkan itu dapat dicapai oleh masyarakat umum, serta secara tak langsung memartabatkan lagi industri,” katanya.
— BERNAMA
