TBS JANGKA 175,000 PENUMPANG SEMPENA DEEPAVALI

TBS JANGKA 175,000 PENUMPANG SEMPENA DEEPAVALI

KUALA LUMPUR,. Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dijangka menerima kehadiran kira-kira 175,000 penumpang sepanjang tempoh perayaan Deepavali tahun ini, meningkat 20 peratus berbanding musim perayaan sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif TMAS Sdn Bhd Shazwan Mohammad berkata jumlah itu dijangka direkodkan dalam tempoh tujuh hari bermula semalam hingga 11 Nov ini, dengan purata kira-kira 25,000 penumpang sehari.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang tempoh berkenaan, TMAS selaku pengendali TBS akan menambah petugas, termasuk mengambil petugas sambilan bagi membantu kelancaran operasi di terminal pengangkutan itu.

“Kita juga meminta ejen tiket dalam talian (OTA) menghantar petugas mereka bagi memudahkan urusan penumpang yang membeli tiket melalui platform masing-masing,” katanya kepada Bernama di TBS di sini hari ini.

Shazwan berkata TBS juga menjangkakan sebanyak 10,000 perlepasan bas dan lebih 4,000 ketibaan bas sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata peningkatan permintaan turut dipengaruhi cuti persekolahan dan kehadiran pelancong asing yang membeli tiket pada saat akhir.

“Laluan ke Pantai Timur antara yang mendapat permintaan tinggi. Tiket ke beberapa destinasi telah habis dijual setakat pagi ini, namun perjalanan tambahan akan dibuka bagi menampung permintaan,” katanya.

Mengenai pengurusan tiket, Shazwan berkata semua maklumat penjualan tiket dan perjalanan perlu dimaklumkan kepada terminal selaras dengan dasar baharu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang berkuat kuasa 1 Nov lepas.

Beliau berkata dasar itu tidak menjejaskan pembelian tiket secara dalam talian, sebaliknya penyelarasan maklumat berkenaan membantu terminal menguruskan jadual perjalanan dan perlepasan bas.

Shazwan berkata daripada purata 18,000 tiket yang dijual sehari pada hari biasa, kira-kira 4,000 dibeli melalui portal terminal manakala selebihnya melalui platform luar.

Shazwan turut mengingatkan penumpang yang membeli tiket melalui OTA supaya memastikan mereka menerima pas masuk berkod respons pantas (QR) untuk memasuki ruang berlepas dan menaiki bas.

Beliau berkata tiket yang dibeli melalui platform itu kadang kala tidak disertakan pas berkenaan berikutan perbezaan sistem antara penyedia perkhidmatan OTA dengan terminal, sekali gus menyukarkan penyelarasan maklumat serta pengeluaran pas masuk.

“Penumpang yang belum menerima kod QR perlu menghubungi OTA tempat mereka membeli tiket bagi mendapatkan pas masuk, namun proses itu boleh mengambil masa jika maklumat perjalanan belum dimasukkan ke dalam sistem terminal,” katanya.

Shazwan menyarankan pembelian tiket melalui aplikasi atau laman sesawang TBS serta mesin tiket yang tersedia di terminal.

Beliau turut menasihati penumpang supaya tiba lebih awal sepanjang musim perayaan dengan mengambil kira keadaan trafik, kesesakan terminal serta masa tambahan yang diperlukan untuk menyelesaikan urusan pas masuk terutamanya bagi pembelian yang tidak mendapat kod QR perlepasan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This