KERAJAAN PERKASA KHIDMAT ASAS, PERKUKUH KESEJAHTERAAN RAKYAT

KERAJAAN PERKASA KHIDMAT ASAS, PERKUKUH KESEJAHTERAAN RAKYAT

KUALA LUMPUR,. Kerajaan terus memperkukuh penyediaan perkhidmatan asas menerusi Belanjawan 2026, melibatkan pelaksanaan pelbagai inisiatif dalam sektor kesihatan, pendidikan, mobiliti dan perumahan bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2027 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, sektor kesihatan menerima peruntukan RM46.5 bilion, termasuk RM1.2 bilion bagi penyelenggaraan dan pembaikan hospital serta klinik dan RM100 juta untuk menaik taraf wad hospital daerah.

Sehingga akhir Ogos 2026, sebanyak 89 daripada 102 projek naik taraf wad hospital daerah telah menerima surat setuju terima, manakala lebih RM3.9 juta dibelanjakan bagi pembaharuan penjagaan kesihatan primer melalui jabatan kesihatan di seluruh negara.

Dalam sektor pendidikan, RM20 juta diperuntukkan bagi memperluas inisiatif “MySISWA Job on Campus” kepada semua universiti awam dengan lebih 13,000 pelajar dilantik sehingga Ogos 2026, melebihi sasaran asal 10,000 pelajar.

Dapur Siswa MADANI pula diperluas daripada 75 kepada 143 premis operasi yang membantu lebih 200,000 pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah dan mudah terjejas sehingga akhir Julai lepas.

Menurut laporan itu, bagi memudahkan mobiliti rakyat program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) diperluaskan dan telah memberi manfaat kepada lebih 18 juta penumpang, manakala Perkhidmatan Udara Luar Bandar bersubsidi di Sabah dan Sarawak memudahkan mobiliti lebih 800,000 pengguna.

Pas percuma “MyRailLife” yang meliputi perkhidmatan KTM Komuter dan perkhidmatan ulang-alik rel di seluruh Semenanjung Malaysia pula dimanfaatkan lebih 350,000 pengguna terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), murid sekolah rendah dan menengah serta kanak-kanak berumur bawah enam tahun.

Bagi penyelenggaraan jalan daerah, sebanyak 73.1 peratus daripada peruntukan RM30 juta telah disalurkan sehingga akhir Julai 2026, dengan aplikasi MYJalan membantu memastikan aduan berkaitan kerosakan jalan dan isu infrastruktur diambil tindakan segera.

Dalam sektor perumahan, laporan itu memaklumkan Belanjawan 2026 memperuntukkan RM672 juta bagi projek Program Residensi Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dijangka memanfaatkan 33,000 penghuni. Sehingga akhir Ogos 2026, sebanyak 60.5 peratus atau lebih RM400 juta daripada peruntukan itu telah disalurkan bagi membiayai projek PRR dan RMR yang merangkumi 8,122 unit dalam perancangan.

Sementara itu, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) dijangka mencapai jumlah jaminan pembiayaan perumahan sekitar RM8 bilion tahun ini, dengan lebih 20,000 permohonan diluluskan membabitkan pembiayaan RM5.5 bilion sehingga akhir Ogos 2026.

Dalam pada itu, mengenai pembangunan insani, laporan itu memaklumkan kerajaan terus memberi penekanan kepada usaha membina jati diri dan nilai insani yang kukuh sebagai asas pembentukan masyarakat yang bersatu padu, progresif dan berdaya tahan.

Sebanyak RM35 juta disediakan bagi menggalakkan penghayatan Islam secara menyeluruh termasuk sumbangan khas kepada 70,000 imam, bilal, siak, noja, marbut dan guru takmir, selain RM2 juta disalurkan sehingga akhir Ogos bagi kerja menaik taraf infrastruktur 27 sekolah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tahfiz.

Bagi memperkukuh perpaduan rakyat dan identiti nasional, Belanjawan 2026 memperuntukkan RM55 juta untuk program perpaduan dan jati diri kebangsaan serta RM60 juta bagi Rukun Tetangga MADANI, dengan masing-masing merekodkan perbelanjaan 65.9 peratus dan 90.5 peratus sehingga akhir Ogos.

Dalam bidang sukan, laporan itu memaklumkan sebanyak RM70 juta diperuntukkan menerusi Program Podium dengan 52.5 peratus telah dibelanjakan sehingga akhir Julai 2026, memberi manfaat kepada lebih 1,000 atlet dan jurulatih menerusi program latihan serta penyertaan pertandingan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Sementara itu, RM68 juta diperuntukkan bagi program pembangunan bola sepak merangkumi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), perancangan penggantian dan pembangunan bakat, dengan 56 peratus telah disalurkan sehingga akhir Julai 2026.

Dalam industri kreatif, Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) yang menerima peruntukan RM100 juta di bawah Belanjawan 2026 telah menjana sekitar RM550 juta pelaburan dan mewujudkan lebih 5,500 pekerjaan untuk rakyat Malaysia sehingga September, manakala sekitar RM40 juta telah disalurkan kepada FINAS bagi pembayaran rebat untuk separuh pertama tahun ini.

Selain itu, sebanyak RM20 juta diperuntukkan menerusi inisiatif Ekosistem Kreatif Digital (DICE) yang telah mewujudkan lebih 1,600 pekerjaan, melatih lebih 300 peserta serta menyokong 20 syarikat pemula kreatif digital dan 10 syarikat kreatif digital, selain menjana peluang eksport bernilai lebih RM350 juta.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This