
TEKNOLOGI NUKLEAR BERKEMBANG PERKASA KETERJAMINAN MAKANAN
KUALA LUMPUR,. Penggunaan teknologi nuklear di Malaysia kini berkembang melangkaui sektor perubatan dan industri kepada usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara menerusi pembangunan baka tanaman baharu yang mempunyai tempoh matang lebih singkat serta hasil lebih tinggi.
Pengarah Kanan Program Pengurusan Agensi Nuklear Malaysia Dr Shukri Mohd berkata menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) menggunakan teknologi pembiakbakaan mutasi nuklear, tempoh matang ubi kayu berjaya dipendekkan kepada seawal enam bulan berbanding 10 hingga 12 bulan bagi baka biasa.
“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan kos pengeluaran bagi petani malah juga meningkatkan kecekapan penggunaan tanah serta menghasilkan saiz ubi kayu yang lebih besar,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, di sini hari ini.
Beliau berkata selain ubi kayu, Agensi Nuklear Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Jabatan Pertanian turut menghasilkan dua baka padi baharu, NMR 151 dan NMR 152.
Kedua-dua baka itu menghasilkan tuaian lebih tinggi serta mempunyai daya tahan terhadap penyakit dan cuaca ekstrem termasuk kemarau berpanjangan serta banjir, katanya.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Abdullah Daud berkata program ‘Evokasi Nuklear untuk Rakyat’ dilancarkan tahun ini bagi memperbetulkan persepsi masyarakat yang masih mengaitkan teknologi nuklear dengan kemusnahan, radiasi dan senjata peperangan.
Beliau berkata teknologi nuklear sebenarnya mempunyai pelbagai aplikasi yang selamat dan terkawal, termasuk dalam bidang perubatan, makanan dan pengurusan alam sekitar.
“Apabila sebut nuklear, persepsi orang ramai sering tertumpu kepada bom atau kemusnahan loji namun kita telah sekian lama memanfaatkan teknologi ini dalam bidang perubatan, pemakanan dan pengurusan alam sekitar,” katanya.
Dalam usaha menarik minat generasi muda terhadap teknologi nuklear, MOSTI turut memperkenalkan watak maskot animasi ‘Cik Tom’, yang diambil daripada perkataan atom, menerusi siri kandungan digital.
Abdullah berkata inisiatif itu bertujuan menyuntik minat pelajar sekolah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain menggalakkan mereka menceburi pengajian teknologi nuklear di peringkat pengajian tinggi.
— BERNAMA
