
PNM LIHAT POTENSI AI TARIK MASYARAKAT MEMBACA, KUNJUNGI PERPUSTAKAAN
KUALA LUMPUR,. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) melihat potensi kecerdasan buatan (AI) dalam menarik minat masyarakat membaca menerusi penggabungan teknologi dan sumber bahan yang dimiliki institusi itu.
Ketua Pengarah PNM Edy Irwan Zukafli berkata perkembangan teknologi sememangnya memberikan cabaran dalam usaha mengekalkan amalan membaca, namun kemudahan digital juga boleh dimanfaatkan untuk mendekatkan masyarakat dengan bahan bacaan.
“Sebenarnya, kami di PNM tidak nafikan keadaan teknologi, perkembangan AI dan sebagainya menyebabkan PNM mempunyai cabaran dalam memastikan masyarakat terus membaca.
“Namun, kami melihat teknologi AI dan sebagainya mampu menjadi penarik bagaimana kami dapat samakan apa teknologi yang ada dengan apa bahan yang kami ada,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Perasmian Minggu Literasi Media dan Maklumat 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata penggunaan teknologi itu, termasuk menerusi pengalaman imersif dan skrin sentuh, membolehkan pengunjung meneroka maklumat secara lebih interaktif berbanding hanya meneliti dokumen fizikal.
Pendekatan berkenaan juga berpotensi menarik pengunjung daripada pelbagai peringkat usia, termasuk kanak-kanak dan golongan dewasa, selain memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai akses kepada teknologi berkenaan untuk mengenali penggunaannya di perpustakaan.
Edy Irwan berkata usaha PNM memperluas akses kepada ilmu turut mengambil kira keperluan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Beliau berkata bengkel dan pertandingan sepanjang Minggu Literasi Media dan Maklumat yang berlangsung selama dua hari bermula semalam bertujuan meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang kepentingan maklumat serta membantu mereka mengenal pasti dan mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.
“Pengisian sedemikian mencerminkan peranan PNM dalam mendidik masyarakat, selain menyebarkan budaya membaca,” katanya.
Majlis perasmian program itu turut menyaksikan pelancaran e-Buku Modul Literasi Maklumat yang disusun mengikut tiga tahap penguasaan, iaitu asas, pertengahan dan lanjutan untuk kegunaan pelajar, pendidik, warga perpustakaan serta masyarakat umum.
— BERNAMA
