
FAHMI UCAP TAKZIAH PEMERGIAN EDITOR KANAN MAKKAL OSAI
KUALA LUMPUR,. Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menzahirkan takziah atas pemergian Editor Kanan Makkal Osai Dr Rajan Boopalan, 68, yang meninggal dunia di Hospital Selayang, pada 4 pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fahmi berkata pemergian Rajan yang telah mendedikasikan 45 tahun kehidupannya kepada dunia kewartawanan memberi kesan mendalam, bukan sahaja terhadap keluarga, malah rakan-rakan seperjuangan serta seluruh warga media yang pernah mengenali dan bekerja bersama mendiang.
“Takziah buat seluruh keluarga mendiang. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” menurut hantaran itu.
Rajan dilaporkan terjatuh di kediamannya pada 8 Sept lepas, sebelum pemeriksaan lanjut di hospital mendapati salur darah di bahagian kepalanya pecah.
Beliau kemudiannya menjalani prosedur pembedahan bagi mengeluarkan darah beku serta menerima rawatan susulan di Hospital Selayang sebelum disahkan menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.
Pada 7 Okt lepas, Rajan menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM ketika menjalani rawatan di Hospital Selayang, yang disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Mendiang meninggalkan isteri, A Saraswathi dan tiga orang anak.
— BERNAMA
