INSIDEN ROLLER COASTER: POLIS JANGKA LENGKAP SIASATAN TIGA HINGGA EMPAT BULAN

INSIDEN ROLLER COASTER: POLIS JANGKA LENGKAP SIASATAN TIGA HINGGA EMPAT BULAN

SHAH ALAM,. Siasatan insiden kemalangan melibatkan permainan roller coaster di Taman Tema Sunway Lagoon pada 22 Ogos lepas dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan untuk dilengkapkan.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan terperinci masih dijalankan, termasuk aspek teknikal di tempat kejadian dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta beberapa agensi lain.

“Kami jangka paling cepat untuk melengkapkan siasatan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata polis setakat ini telah merekodkan keterangan daripada pelbagai pihak termasuk petugas taman tema dan roller coaster, mangsa yang cedera atau tidak cedera serta pegawai perubatan.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan keterangan daripada beberapa individu akan turut direkodkan, terutama berkaitan aspek teknikal,” katanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat sebelum ini dilaporkan berkata 10 individu mengalami kecederaan ringan dalam satu insiden roller coaster di sebuah taman tema.

Kejadian itu berlaku kira-kira 9 malam 22 Ogos dan laporan polis dibuat pada 11.45 pagi 23 Ogos.

Shazeli pada sidang media sebelum ini berkata siasatan terperinci dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur kecuaian atau sabotaj.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kes cubaan samun sebuah kedai emas di Jalan Tengku Kelana, Klang pada 20 Ogos lepas, Shazeli berkata siasatan masih dijalankan, dengan polis mempunyai maklumat positif dan sedang mengambil tindakan susulan.

“Sebarang perkembangan lanjut dan kejayaan berhubung kes itu akan kami kongsikan kelak,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This